Aplikasi lucah bebas diakses perlu disekat

Aplikasi lucah bebas diakses perlu disekat

am@mediaprima.com.my

Jelebu: Kerajaan perlu bertindak lebih tegas dalam menangani kewujudan aplikasi lucah termasuk penghasil cerpen tidak senonoh yang semakin menjadi-jadi ketika ini.

Sebagai contoh wujud aplikasi media sosial mengandungi kandungan lucah seperti M*** yang perlu disekat daripada diakses oleh rakyat.

Biarpun aplikasi berkenaan mempunyai banyak kandungan lain membabitkan riadah, sukan dan hiburan namun ia turut disalahguna sebagai lubuk maksiat.

Lebih membimbangkan aplikasi berkenaan boleh dimuat turun ke telefon pintar termasuk golongan remaja.

Pelbagai adegan lucah disajikan di dalam aplikasi berkenaan dan sesetengahnya pula sanggup melakonkan pelbagai aksi sebelum di muat naik dalam bentuk preview sebelum dijual.

Aplikasi seperti M*** boleh dimuat turun melalui Google Playstore ke dalam telefon bimbit dan pengguna perlu mendaftar menggunakan e-mel sahaja.

Ada kemungkinan pentadbir aplikasi mengalami kesukaran untuk memantau akaun individu berbanding kumpulan namun tindakan sewajarnya perlu dilakukan.

Satu lagi laman web penulisan yang semakin mendapat sambutan adalah w*** yang menjadi lokasi himpunan pelbagai cerita lucah.

Bagaimanapun pentadbir laman web itu hanya akan menyahaktifkan cerita lucah itu sekiranya terdapat laporan dibuat orang ramai kepada pentadbir.

Laman web itu juga turut mempunyai aplikasi yang boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit pengguna.

Turut membimbangkan lambakan novel lucah yang dijual secara dalam talian dan hanya boleh dibaca sama ada menggunakan aplikasi K***** atau B******.

Penulis akan menulis novel lucah berkenaan sebelum dijual kepada mereka yang berminat mendapatkan novel itu dengan mudah.

Kerajaan seharusnya perlu mengambil tindakan drastik mengekang laman web dan aplikasi berkenaan supaya tidak mudah diakses termasuk disekat penggunaannya di dalam negara.

Asasnya kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi atau Kementerian Digital boleh memanggil semua pentadbir aplikasi berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian.

MCMC tubuh pasukan khusus pantau bahan lucah di media sosial

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah menurunkan 549 laman kandungan lucah dan 69 laman pelacuran sejak 1 Januari hingga 1 Jun tahun lalu.

Untuk rekod, sejak 2016 hingga 2021, MCMC sudah melaksanakan sekatan terhadap 6,661 laman web lucah. Sekatan laman web itu dilaksanakan berdasarkan aduan diterima mengikut kesalahan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MCMC memaklumkan bahawa inisiatif itu termasuk melaksanakan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kesedaran orang awam terhadap penggunaan perisian yang mampu menyekat laman web lucah daripada diakses.

Sumber MCMC memaklumkan bahawa agensi itu turut melaksanakan koordinasi yang sedia terjalin antara pihaknya dengan pihak penyedia platform media sosial seperti Facebook dan Instagram yang mana kandungan berunsur lucah sememangnya menjadi kesalahan berdasarkan piawaian komuniti di platform laman sosial terbabit.

“Mana-mana kandungan lucah dilaporkan akan dipadamkan menurut piawaian komuniti ditetapkan pihak mereka,” katanya.

MCMC menubuhkan satu pasukan khusus untuk memantau iklan bahan lucah di media sosial dan kesalahan lain.

MCMC juga mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Januari 2025.

Langkah itu bertujuan memastikan setiap penyedia perkhidmatan yang berdaftar mematuhi obligasi di bawah Akta 588 serta mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) yang diterbitkan MCMC, bagi meningkatkan kebertanggungjawaban terhadap kandungan dan interaksi dalam talian disediakan kepada pengguna.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top