Golongan muda sangat terdedah dengan bahan pornografi AI

Golongan muda sangat terdedah dengan bahan pornografi AI

am@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Golongan remaja paling terdedah dengan penyalahgunaan teknologi khususnya Kecerdasan Buatan (AI) yang turut dikaitkan dengan kandungan pornografi.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 99.3 peratus isi rumah di negara ini mempunyai akses kepada peranti pintar pada 2023.

Laporan semasa turut menunjukkan bahawa 85.6 peratus remaja berumur 13 hingga 17 tahun adalah pengguna Internet.

Remaja menggunakan pelbagai peranti untuk melayari Internet termasuk peranti pintar sebanyak 94 peratus, komputer (62 peratus) dan tablet (31 peratus).

Untuk rekod beberapa tahun lalu, 92 peratus remaja memiliki akaun media sosial sendiri dan purata masa yang dihabiskan adalah sekitar tiga hingga lima jam sehari.

Aktivis teknologi, Azrul Zafri Azmi berkata, golongan muda sangat terdedah dengan bahan pornografi AI yang memperagakan selebriti atau individu yang dikenali umum.

“Keadaan ini sangat mengundang kebimbangan kepada ibu bapa berikutan hampir semua remaja pada hari ini mempunyai akses kepada peranti pintar.

“Saya lihat pada situasi semasa, hampir semua remaja memiliki peranti pintar. Jadi mereka mempunyai keupayaan untuk mendaftar akaun dengan platform AI yang melaksanakan perkhidmatan deep fake ini.

“Pendaftaran e-mel juga boleh dipalsukan dengan menggunakan tarikh lahir palsu dan ini adalah bentuk ancaman baharu yang perlu ditangani secara bersama,” katanya kepada Harian Metro.

Azrul Zafri yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan yang sangat besar dan tidak memberikan kuasa ‘autonomi’ penuh kepada anak-anak mereka.

“Kaedah yang perlu dilaksanakan adalah penggunaan perisian kawalan ibu bapa. Terdapat pelbagai aplikasi ini tersedia di gedung aplikasi untuk semua sistem operasi. Aplikasi ini akan memberi maklumat kepada ibu bapa berkaitan laman web yang sering dilayari anak mereka, jumlah masa yang dihabiskan untuk pelayaran dan aktiviti ketika berada di ruang siber.

“Ibu bapa digalakkan untuk memeriksa sejarah tontonan dan penggunaan aplikasi anak-anak secara berkala dan berbincang secara terbuka tentang risiko dunia digital,” katanya.

Beliau berkata, remaja perlu dididik berhubung bahaya kandungan tidak bermoral serta kesan jangka panjang terhadap minda serta tingkah laku termasuk ketagihan bahan pornografi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top