London: Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Crystal Palace digugurkan daripada menyertai saingan Eropah dan diturunkan ke Liga Konferens iaitu kejohanan ketiga tertinggi susulan isu pemilikan pelbagai kelab, manakala Olympique Lyonnais dibenarkan beraksi dalam Liga Europa, umum UEFA.
Palace layak ke Liga Europa selepas menjuarai Piala FA musim lalu, manakala Lyon mara ke kejohanan itu selepas menamatkan saingan Ligue 1 di tempat keenam.
Cubaan untuk menurunkan Lyon ke Ligue 2 – liga kedua Perancis – atas masalah kewangan mereka telah dibatalkan, satu keputusan yang ditunggu oleh Badan Kawalan Kewangan Kelab UEFA (CFCB) sebelum membuat keputusan dalam kes pemilikan pelbagai kelab.
“Sehubungan itu, CFCB Bahagian Pertama meneruskan penilaian ke atas dokumen yang dikemukakan oleh Olympique Lyonnais dan Crystal Palace dan mendapati bahawa kedua-dua kelab telah melanggar kriteria pemilikan pelbagai kelab, setakat 1 Mac 2025,” kata UEFA dalam kenyataan.
Memandangkan kedua-dua Lyon dan Palace layak ke Liga Europa, kelab Perancis itu dikekalkan tempatnya kerana mereka menamatkan liga domestik lebih tinggi berbanding Palace, yang sekadar di tangga ke-12 EPL.
Kumpulan Eagle Football adalah pemilik majoriti Lyon, sementara pengerusinya, John Textor turut memegang saham kawalan di Crystal Palace. Textor kemudiannya meletak jawatan daripada lembaga pengarah Lyon dan tempatnya digantikan oleh Michele Kang yang dilantik sebagai pengerusi dan presiden baharu.
Palace sebelum ini mengumumkan bahawa pemilik bersama New York Jets, Robert Wood “Woody” Johnson, sudah menandatangani perjanjian sah untuk membeli pegangan Eagle Football Holding dalam kelab itu, tertakluk kepada kelulusan EPL.
Namun begitu, Palace gagal mematuhi tarikh akhir Mac yang ditetapkan UEFA bagi memenuhi peraturan pemilikan pelbagai kelab.
“Sejujurnya, saya terkejut. Kami sudah melakukan segala yang mungkin untuk memisahkan pemilikan daripada kelab, sebagaimana yang dikehendaki UEFA, termasuk memulakan proses jualan sebelum tarikh akhir dan jualan yang akan dimuktamadkan sebelum undian kejohanan.
“Kini kami terpaksa menjual pegangan dalam kelab yang saya cintai, demi membantu penyokong Palace meneruskan tahun impian ini, namun keputusan luar padang ini memusnahkan satu kejayaan bersejarah di atas padang,” kata Textor kepada Reuters.
© New Straits Times Press (M) Bhd