BEKAS Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad, menyifatkan pelantikannya sebagai salah seorang Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan SEA Thailand 2025 satu amanah besar yang akan digalas dengan penuh komitmen demi memastikan kejayaan kontinjen Malaysia.
Menurut Nazmizan, pelantikan tersebut bukan sekadar penghargaan peribadi, sebaliknya peluang untuk terus menyumbang kepada pembangunan sukan negara, khususnya dalam memperkasa semangat dan prestasi atlet.

Nazmizan Muhammad
âSaya bersyukur dan berterima kasih atas kepercayaan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang melantik saya ke jawatan ini.Â
“Ini bukan satu penghormatan semata-mata, tetapi satu tanggungjawab besar yang saya terima dengan penuh rasa hormat,â katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
MOM sebelum ini mengumumkan pelantikan Nazmizan bersama dua lagi individu berpengalaman dalam sukan tanah air, Datuk Kenny Goh dan Jivan Mohan, sebagai Timbalan Ketua Kontinjen.
Legenda renang negara, Nurul Huda Abdullah pula diberi mandat selaku Ketua Kontinjen Malaysia ke temasya yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini.
Nazmizan yang kini berkhidmat di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) percaya pengalamannya sebagai bekas atlet yang pernah beraksi di pentas Sukan SEA memberi kelebihan tersendiri dalam memahami keperluan sebenar atlet negara.
âSaya pernah lalui sendiri tekanan dan cabaran di dalam balapan. Maka, saya amat faham keperluan bukan sahaja dari sudut fizikal dan teknikal, malah aspek sokongan moral dan psikologi yang amat penting buat atlet kita,â katanya.
Jelasnya lagi, peranan sebagai Timbalan Ketua Kontinjen bukan hanya melibatkan tugas pengurusan semata-mata, malah turut menuntut keupayaan menjadi mentor dan sumber motivasi kepada seluruh pasukan.
âSaya mahu memastikan suasana dalam pasukan kekal positif, berdisiplin, dan fokus pada matlamat utama membawa pulang pencapaian terbaik buat negara,â katanya.
Nazmizan turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memberi sokongan padu kepada para atlet negara, yang bukan sekadar bertanding demi pingat, tetapi juga demi mengangkat martabat tanah air di pentas serantau.
âDengan persiapan rapi, semangat berpasukan dan sokongan rakyat, saya yakin kita mampu mencipta sejarah di Thailand hujung tahun ini,â katanya.
Dijangkakan edisi Thailand 2025, seramai 600 hingga 700 atlet negara bakal beraksi dalam 48 daripada 50 sukan yang dipertandingkan dengan pemilihan atlet tidak hanya tertumpu kepada mereka dalam Program Podium dan Pelapis, sebaliknya turut melibatkan atlet luar program yang menunjukkan prestasi konsisten di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.