Monaco: Atlet Amerika Syarikat (AS), Noah Lyles membuat penampilan sulung musim ini dalam acara 200 meter (m) dengan penuh bergaya apabila menewaskan juara Olimpik, Letsile Tebogo, pada Kejohanan Liga Berlian di Monaco, awal pagi tadi.
Manakala pelari Kenya, Emmanuel Wanyonyi menyerlah dalam acara 800m menewaskan barisan pelari elit.
Kempen musim ini yang dibelenggu kecederaan menimbulkan keraguan terhadap peluang Lyles iaitu juara dunia tiga kali acara 200m untuk mempertahankan gelarannya di Tokyo pada September nanti, namun juara Olimpik 100m itu berjaya menutup mulut pengkritik.
Lyles menamatkan perlumbaan 200m di tempat ketiga di Paris tahun lalu, tetapi selepas perlumbaan yang dimenangi oleh Tebogo dari Botswana itu, Lyles mendedahkan dia dijangkiti Covid-19 dan mereka berdua tidak pernah berentap sejak itu.
Tebogo bermula pantas dan kekal seiring dengan Lyles sehingga ke selekoh terakhir, namun pelari AS itu melonjak jauh pada 50 meter terakhir untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan 19.88 saat (s), manakala Tebogo menamatkan saingan di tempat kedua dengan 19.97s.
“Saya tidak rasa tekanan, tiada sebab untuk saya meletakkan tekanan pada diri sendiri, inilah yang saya suka lakukan,” kata Lyles.
Selaku juara bertahan, Lyles tidak perlu risau tentang kelayakan menerusi Kejohanan AS hujung Julai ini, dan dia akan beraksi dalam acara 100m di London minggu depan.
“Saya akan ke Liga Berlian di London. Saya sudah lama tidak bertanding dalam beberapa minggu ini.
“Saya menonton Kejohanan Prefontaine dan saya memang mahu berada di sana, tetapi perlu pastikan dahulu yang saya benar-benar sihat dan bersedia sepenuhnya untuk bertanding,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd