Lawatan PM Anwar ke Itali, Perancis dan Brazil baru-baru ini disifatkan sebagai langkah strategik yang bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik dua hala, malah membuka ruang kerjasama ekonomi, teknologi dan sosial yang lebih luas untuk Malaysia.
Menurut Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan merangkap Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategik, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Saidatulakmal Mohd, lawatan PM Anwar membawa pelbagai potensi limpahan manfaat khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi global serta ketidaktentuan politik antarabangsa.
Lawatan PM Anwar perkukuh diplomatik

Foto: Prof Dr Saidatulakmal Mohd
“Hubungan erat dengan negara-negara utama seperti Itali, Perancis dan Brazil menempatkan Malaysia sebagai pemain strategik dalam landskap geopolitik dan ekonomi dunia. Ia juga menjadi ‘benteng’ kepada ketidaktentuan global serta konflik kuasa-kuasa besar,” katanya kepada Oh My Media.
Pacuan Pelaburan dan Ekonomi Strategik
Lawatan PM Anwar turut membawa pulang komitmen pelaburan bernilai RM12 bilion iaitu RM8 bilion dari Itali dan RM4 bilion dari Perancis yang melibatkan sektor strategik seperti penerbangan dan aeroangkasa.
Di Brazil pula, kunjungan ke syarikat pesawat Embraer membuka potensi kerjasama dalam bidang aeroangkasa, satu sektor berimpak tinggi yang sedang giat diterokai Malaysia.
“Dalam era perang tarif dan perubahan landskap perdagangan global, kita perlu teroka pasaran dan sektor baharu. Lawatan ini secara langsung membuka akses pasaran, peluang pemindahan teknologi serta pelaburan berkualiti,” ujarnya.
Beliau menambah, peranan Malaysia sebagai destinasi pelaburan akan terus kukuh sekiranya persepsi pelabur antarabangsa terhadap kestabilan politik, kematangan ekonomi dan dasar mesra pelabur dapat dikekalkan melalui hubungan diplomatik yang aktif.
Kehadiran strategik dalam Sidang Kemuncak BRICS
Mengulas penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di Rio de Janeiro, Prof Dr Saidatulakmal menyifatkan pengiktirafan Malaysia sebagai BRICS Partner Country sebagai lonjakan besar dalam pengaruh Malaysia di peringkat global.
“Kehadiran PM ke BRICS membuka peluang baharu bagi kerjasama pelbagai hala. Ia membantu Malaysia menangani isu seperti akses pasaran, perdagangan antarabangsa dan teknologi termasuk kecerdasan buatan yang sukar dicapai jika bergerak secara bersendirian,” katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut membawa suara kolektif Asia Tenggara ke platform global. Antara fokus utama ialah memperkukuh perdagangan intra-BRICS dan mengusulkan pembaharuan sistem ekonomi dunia yang lebih adil dan inklusif.
“Kita bukan sekadar penerima pasaran, tetapi pemain aktif dalam rantaian nilai global,” tambahnya.
Artikel lain: Misi ekonomi global! Lawatan PM Anwar ke 3 negara kukuh hubungan dua hala -Fahmi
Limpahan manfaat kepada rakyat
Sementara itu, Prof Dr Saidatulakmal turut menjelaskan kesan jangka panjang lawatan PM Anwar dapat dilihat dari dua dimensi iaitu peningkatan pelaburan asing dan kesan langsung kepada rakyat.
Pertama, sentimen antarabangsa yang positif terhadap Malaysia akan meningkatkan keyakinan pelabur dan seterusnya mencetus pertumbuhan ekonomi yang mampan termasuk peluang pekerjaan dan kenaikan pendapatan negara.
Kedua, kerjasama rentas rantau dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pelancongan mampu mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia.
“Kita jangka pertukaran polisi dan pengalaman dalam aspek mobiliti, kebajikan sosial dan keselamatan perjalanan akan memperbaiki kualiti hidup dan infrastruktur negara. Ia juga menjadikan Malaysia lebih kompetitif dan terbuka kepada dunia,” katanya lagi.
Ternyata, lawatan PM Anwar bukan semata-mata ‘lawatan diplomatik’, tetapi satu pelaburan strategik yang memberi nilai tambah kepada pembangunan negara dalam pelbagai bidang.
Ia memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai pemain aktif dalam dunia yang semakin terpecah antara kuasa besar.