Terbuka Malaysia talian hayat atlet olahraga ke Sukan SEA Thailand

Terbuka Malaysia talian hayat atlet olahraga ke Sukan SEA Thailand

TERBUKA Malaysia di Perlis bulan depan menjadi talian hayat terakhir buat atlet olahraga untuk meraih tiket ke Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini.

Malah cabaran kian memuncak apabila 41 atlet yang disenarai pendek daripada Program Podium, hanya sekitar 29 orang yang sudah melepasi had kelayakan ke temasya tersebut.

Presiden Seumur Hidup Olahraga Malaysia (MA), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kejohanan tersebut amat penting buat atlet sebagai usaha terakhir untuk melayakkan diri ke temasya dwitahunan itu.

“Ia peluang terakhir buat atlet olahraga. Jadi gunakan sebaik mungkin peluang keemasan ini untuk layak, terutama kepada atlet yang masih belum mengesahkan tempat ke Thailand,” katanya.

Kejohanan tersebut dijadual berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar bermula 29 hingga 31 Ogos depan.

“Daripada segi fasiliti, kita akan buat yang terbaik untuk memastikan acara ini berjalan dengan lancar sebab ini kali kedua ia diadakan di stadium ini,” ujar Shahidan.

Beliau menjelaskan bahawa peluang untuk skuad olahraga meningkat jumlah atlet ke temasya tersebut masih terbuka.

“Tarikh akhir untuk menghantar senarai nama ke pihak berkaitan ialah pada 4 September,” katanya.

 

Scroll to Top