
Laporan awal AAIB India mendedahkan kekeliruan kokpit sebelum nahas Air India AI171 yang mengorbankan 260 penumpang. – Foto Agensi
NEW DELHI – Laporan awal nahas Air India yang dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB) pada Sabtu mendapati berlaku kekeliruan di dalam kokpit sebelum insiden itu berlaku hingga mengorbankan 260 penumpang pada 12 Jun lalu.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner yang dalam perjalanan ke London dari bandar Ahmedabad itu dilaporkan hilang daya tujahan sebelum ia menjunam sejurus selepas berlepas.
“Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sumber tenaga sandaran yang dipanggil turbin udara ram telah digunakan berikutan kehilangan kuasa daripada enjin.
“Pada detik akhir, salah seorang juruterbang melalui perakam suara kokpit bertanyakan tindakan rakannya yang menutup suis bekalan bahan api, namun individu itu menafikannya.
“Tidak dapat dipastikan sama ada kapten atau pembantunya yang melakukan tindakan tersebut dan siapa yang menghantar isyarat kecemasan ‘Mayday, Mayday, Mayday’ sebelum pesawat itu terhempas,” jelas laporan tersebut.
Difahamkan, juruterbang yang bertugas pada hari kejadian ialah Sumeet Sabharwal, 56, yang memiliki pengalaman terbang selama 15,638 jam, manakala pembantunya, Clive Kunder, 32, berpengalaman terbang selama 3,403 jam.
Laporan tragedi Penerbangan AI171 itu bagaimanapun tidak menyatakan bagaimana suis tersebut berada pada kedudukan ‘cutoff’ semasa penerbangan.
Di lokasi nahas, laporan itu turut mendapati kedua-dua suis bahan api berada dalam kedudukan ‘run’ dan terdapat petunjuk bahawa kedua-dua enjin telah dihidupkan semula pada altitud rendah.
Pakar berpendapat kejadian tersebut tidak mungkin berlaku secara tidak sengaja.
“Jika ia berpunca daripada kesilapan juruterbang, mengapa ia terjadi?” soal pakar keselamatan penerbangan, Anthony Brickhouse.
AAIB yang berada di bawah Kementerian Penerbangan Awam India mengetuai siasatan nahas itu yang turut meragut 19 nyawa penghuni sebuah asrama perubatan di Ahmedabad. – Agensi