TVET buka peluang kerja buat anak tempatan -PM

TVET buka peluang kerja buat anak tempatan -PM

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Pembangunan solar terapung hidro hibrid di Tasik Kenyir, dilihat mampu membuka ruang pekerjaan kepada penduduk setempat yang mempunyai kemahiran dalam bidang TVET.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau pernah mengusulkan kepada Petronas dan Tenaga Nasional Berhad mengenai kaedah-kaedah baru dari segi latihan.

Menurutnya, penekanan itu sangat penting dan TVET bukan sahaja yang biasa, namun di peringkat atas.

“Inilah peranan yang harus dibuat, diambil juga oleh Petronas dan seperti mana kita tahu, Petronas telah menjalankan peringkat TVET, latihan sehingga ke universiti, begitu juga TNB.

“Jadi, saya minta umpamanya kerana projek besar ini di Kenyir, Terengganu, ada usaha khusus untuk TNB dan Petronas umpamanya, kerjasama dengan kementerian-kementerian berkenaan, Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Sumber Manusia serta lain-lain agensi dan juga kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu untuk mengadakan beberapa program peluang latihan khas.

“Saya nak pastikan supaya anak Kuala Berang sendiri dipilih untuk diberi latihan, supaya nanti rakyat di Kuala Berang, kata projek besar di sini, tapi anak-anak kami takkanlah setakat buka restoran-restoran kecil sahaja atau

tukang-tukang pembersih.

“Baik, itu boleh diteruskan kerana kita perlu tenaga mereka, tetapi eloklah dirancang supaya ada tempat di mana anak-anak dari Kuala Berang dan Terengganu juga diberi latihan khusus satu kuota supaya ada manfaat dan faedah, jadi saya harap ini dapat disegerakan,” katanya sempena Majlis Pelancaran Pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau di Terengganu, di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud, Kenyir, di sini, hari ini.

Menurutnya, tenaga kerja terlatih boleh diperoleh di beberapa pusat yang menyediakan tenaga kerja mahir bagi mengendalikan projek untuk memenuhi keperluan semasa.

Beliau berkata, beberapa institut latihan atau pusat latihan TVET harus dimanfaatkan.

“Yang saya tekankan, sebahagian kuota haruslah beri peluang dan kesempatan kepada anak-anak tempatan, termasuk dari golongan miskin,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kerajaan negeri Terengganu untuk mengadakan beberapa program peluang latihan khas bagi membekalkan sumber tenaga manusia.

“Saya nak pastikan supaya anak-anak tempatan dipilih untuk diberi latihan supaya nanti rakyat boleh lihat, projek besar berada di sini dan mereka boleh bekerja di sini kerana kita perlu tenaga kerja.

“Eloklah dilancarkan (solar terapung) supaya ada tempat di mana anak-anak dari Kuala Berang juga diberi latihan dan pekerjaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top