Detik cemas lelaki diacu pistol oleh Boss Taiwan

Detik cemas lelaki diacu pistol oleh Boss Taiwan

am@hmetro.com.my

Sepang: Akibat percayakan tawaran kerja bergaji lumayan di Kemboja, seorang pemuda berdepan realiti perit apabila dipaksa menjadi ‘scammer’ dengan melakukan penipuan melalui panggilan telefon, sejak awal Mei lalu.

Lebih memedihkan, dia turut diseksa dan dijual kepada sindiket lain apabila enggan bekerja sama membuat penipuan berkenaan kerana berasa bersalah.

Mangsa enggan dikenali bagaimanapun bernasib baik apabila dia diselamatkan dengan usaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), dan dibantu Kedutaan Malaysia di Kemboja serta pihak berkuasa negara itu.

Lelaki berusia 25 tahun yang tiba di negara ini tengah malam tadi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut pernah berdepan risiko ditembak kerana enggan membuat kerja penipuan.

“Saya diseksa. Kemudian saya dijual kepada syarikat lain dan nyaris ditembak oleh bos Taiwan saya. Kawan saya sendiri ditembak di kaki dengan menggunakan peluru hidup.

“Dia (pihak sindiket) nak pindahkan saya tetapi ngam-ngam (tepat pada masanya) polis Kemboja ambush (membuat serbuan) tempat kita orang (ditahan),” katanya sebaik tiba di Terminal 2, KLIA.

Turut hadir Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, dan ibu mangsa, Anida Ponirin, 49.

Lelaki itu berkata, sebelum ditawarkan kerja, dia sudah mempunyai pekerjaan iaitu sebagai pengawal peribadi.

Katanya, dia ditawarkan pekerjaan di Kemboja oleh rakannya, dengan dijanjikan gaji sebanyak USD$5,000, namun lain yang berlaku sebaik tiba di negara berkenaan apabila telefon bimbit dan pasportnya dirampas.

Lebih memeritkan, kata lelaki berasal dari Jengka, Pahang itu, tunangnya turut menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan dan turut dipukul ahli sindiket.

“Tunang saya memang kena pukul. Mula-mula saya datang tu tunang saya kena pukul sampai lebam-lebam. Tiada seorang pun boleh tolong (kami).

“Sebelum saya diselamatkan, saya juga terputus hubungan dengan tunang saya kerana dia sudah dipindahkan ke kem lain,” katanya.

Pada masa sama, dia turut menasihati rakyat Malaysia untuk tidak mempercayai sebarang tawaran kerja dari luar negara termasuk untuk menjadi pengawal peribadi atau yang menawarkan pinjaman bagi mengelakkan perkara yang berlaku terhadapnya berulang.

Selain itu, Anida turut menyatakan kesyukuran dengan kepulangan anaknya dan berterima kasih kepada pihak yang membantu serta berharap ia tidak berlaku kepada anak orang lain.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, apabila Anida menghubungi pihaknya untuk mendapatkan bantuan, beliau meminta wanita itu membuat laporan polis dan berbekalkan dokumen berkenaan, MHO memohon bantuan pihak Kedutaan Malaysia di Kemboja untuk menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyelamatkan mangsa.

Ditanya mengenai nasib tunang mangsa, Hishamuddin berkata, pihaknya akan berusaha menyelamatkan wanita itu daripada cengkaman sindiket berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top