HASRAT Newcastle United untuk memperkukuh jentera serangan menjelang kempen Liga Juara-Juara musim depan direalisasikan apabila The Magpies menyempurnakan perpindahan pemain sayap lincah Nottingham Forest, Anthony Elanga.
Pemain Sweden berusia 23 tahun itu muncul sebagai salah seorang bintang muda paling menyerlah dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dan kini sah menjadi watak baharu dalam projek pengendali Eddie Howe di St James’ Park.
Elanga tampil cemerlang bersama Forest musim lalu dengan menjaringkan enam gol dan mencipta 11 bantuan jaringan, membantu pasukan itu kekal di liga utama.
Sementara itu, Howe berkata, beliau gembira dengan kejayaan mendapatkan Elanga lebih awal dalam pramusim menyifatkan pemain berkenaan sebagai aset penting kepada gaya permainan The Magpies.
“Dia adalah sasaran utama kami dan saya gembira kami berjaya mendapatkannya lebih awal.
“Dia memiliki kepantasan, tenaga dan kreativiti yang menjadikannya ancaman di bahagian serangan. Kehadirannya akan memperkuatkan lagi pilihan kami di bahagian depan,” kata Howe.
Dalam pada itu, Elanga pula menyuarakan keterujaannya untuk memulakan cabaran baharu di St James’ Park.
“Saya sudah bersedia menyarung jersi hitam putih ini dan berjuang untuk pasukan serta penyokong yang penuh semangat dan cintakan bola sepak.
“Dua tahun saya di Nottingham Forest cukup bermakna dan membantu saya menjadi pemain seperti hari ini, tetapi kini saya benar-benar gembira berada di sini.
“Kelab ini baru sahaja menjulang trofi musim lalu dan sedang membina sesuatu yang istimewa, saya mahu jadi sebahagian daripada projek itu dan menyerap budaya serta DNA kelab ini,” katanya.
Elanga menyertai Forest dari Manchester United pada tahun 2023 selepas melalui proses pembangunan di Old Trafford sejak berusia 12 tahun dan membuat 55 penampilan bersama skuad utama Red Devils.
Biarpun pengendali Nuno Espirito Santo berhasrat mengekalkannya dan pemain itu sendiri tidak mendesak untuk berpindah, namun tawaran lumayan daripada Newcastle dianggap sukar untuk ditolak.