Lebih 80 gimnas cilik sertai Piala Puteri Classic

Lebih 80 gimnas cilik sertai Piala Puteri Classic

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lebih 80 gimnas cilik berusia seawal empat tahun berhimpun dalam suasana penuh inspirasi di Stadium Juara, Bukit Kiara bagi menyertai edisi sulung Piala Puteri Classic pada 21 hingga 22 Jun lalu.

Dianjurkan Sarina Rhythmic Gymnastics Club (SRGC), kejohanan itu bukan sekadar pertandingan, malah platform membina keyakinan, kepimpinan dan semangat kekitaan dalam kalangan gimnas muda yang menyertai 10 kategori umur.

Tanpa sebarang penajaan rasmi, acara itu digerakkan sepenuhnya atas semangat komuniti SRGC, sekali gus membuktikan kesungguhan pengasasnya, Sarina Sundara Rajah yang juga bekas atlet negara untuk mencipta ruang selamat dan bermakna buat atlet wanita muda.

“Kami mahu membentuk gimnas bukan saja dari segi fizikal dan teknikal, tetapi juga secara dalaman iaitu bagaimana mereka melihat diri, berani bersuara dan menghormati orang lain.

“Kalau seorang sahaja daripada mereka pulang dengan keyakinan lebih tinggi, lebih berani mencuba dan tidak takut gagal, itu sudah cukup bermakna. Piala Puteri bukan tentang pingat, tapi tentang legasi dan nilai yang mereka bawa,” kata Sarina, bekas pemenang pingat emas Sukan Komanwel.

Zaheera, 11, menjadi tumpuan apabila menerima Anugerah Puteri Suara atas keberaniannya menyuarakan pendapat dan membela rakan sepasukan, selaras dengan prinsip Safe Sport yang diterapkan di SRGC.

Terdahulu, kejohanan ini turut diserikan dengan sesi Power Talk bersama tokoh tempatan dan antarabangsa serta Master Class bersama juara dunia, Tamara Yerofeeva dari Ukraine.

Bermula secara eksklusif untuk gimnas SRGC, penganjur kini bersedia membuka penyertaan kepada kelab seluruh negara, dengan harapan menjadikan Piala Puteri Classic sebagai acara tahunan berskala Asia Tenggara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top