Pendakwah bebas popular, PU Riz meluahkan rasa syukur apabila di usianya yang genap 30 tahun banyak impiannya yang telahpun tercapai.
Kata PU Riz atau nama penuhnya, Muhammad Haris Mohd. Ismail, tidak ada yang lebih membahagiakan selain menyambut kelahiran anak keduanya, Abdullah Abbas yang juga menyambut ulang tahun keduanya pada 11 Julai lalu.
Menurut PU Riz, meskipun waktu cepat berlalu, namun sebagai seorang ayah, dia tidak pernah puas untuk memandang wajah anaknya itu.
Bahkan, mengakui walaupun dia bukanlah bapa yang sempurna namun, dia tetap menyayangi anak-anaknya.
“11 Julai 2025. Abbas, my dear son, one of the lights of my life.
“Tahun ini Abah genap 30. Banyak impian Abah sudah tercapai, tapi tak ada yang lebih membahagiakan daripada kelahiranmu.
“Hari ini kamu 2 tahun. Cepatnya masa berlalu. Tapi Abah tak pernah puas pandang wajah kamu. Abah bukan ayah sempurna, tapi Abah sayang kamu sangat.
“Kalau kamu muncul dalam mimpi pun, senyum Abah tetap muncul di alam nyata. Semoga hidupmu penuh ‘afiyah, kejayaan, dan barakah,” katanya.
Perkara itu dikongsi PU Riz menerusi hantaran di Threads miliknya.
Sekadar info, PU Riz dan selebriti popular Noor Neelofa selamat mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini telah dikurniakan dengan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas.