“Saya malu..” – Tun Mahathir kecewa tamadun kian runtuh, nilai kemanusiaan makin terhakis

“Saya malu..” – Tun Mahathir kecewa tamadun kian runtuh, nilai kemanusiaan makin terhakis

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan kekecewaan terhadap keruntuhan nilai moral dan prinsip kemanusiaan global yang menurutnya mencerminkan kejatuhan tamadun moden.

Menerusi kenyataan di Facebook hari ini, beliau berkata dunia kini sedang kembali kepada zaman kebiadaban apabila kezaliman, penindasan dan ketidakadilan dibiarkan berleluasa.

“Saya malu. Kita sepatutnya malu di hadapan haiwan yang kita anggap liar. Kita lebih teruk daripada mereka,” katanya.

Tun Mahathir kecewa tamadun kian runtuh

Jelasnya, tamadun sepatutnya berpaksikan kepada undang-undang, keadilan dan penghormatan terhadap nilai kemanusiaan, namun apa yang berlaku sejak beberapa dekad lalu memperlihatkan sebaliknya.

“Kita telah membina sistem perundangan, menolak kediktatoran dan memperjuangkan hak asasi. Tapi hari ini, kita musnahkan semua itu sendiri,” katanya.

Artikel lain: Genap seabad: Saya tiada sasaran peribadi, cuma mahu berbakti untuk negara – Tun M

Menurut beliau lagi, dunia kini menyaksikan pelbagai bentuk kekejaman terhadap orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, yang diserang tanpa perikemanusiaan.

Beliau turut menyelar peranan kuasa besar dunia yang disifatkan gagal mempertahankan prinsip moral yang selama ini mereka laungkan sendiri.

“Mereka yang kononnya memperjuangkan hak asasi kini menjadi punca kehancuran tamadun,” tegasnya.

Mengakhiri kenyataan, beliau menyifatkan nilai kemanusiaan semakin pupus, manakala tamadun yang dibina berabad lamanya kini hanya tinggal nama.

“Saya sembunyikan wajah saya. Saya malu. Tamadun bukan lagi menjadi norma,” katanya.

Sumber: FB Dr. Mahathir bin Mohamad

Scroll to Top