Pentagon sahkan peluru berpandu Iran mengenai pangkalan tentera AS di Qatar

Pentagon sahkan peluru berpandu Iran mengenai pangkalan tentera AS di Qatar
Imej satelit daripada Planet Labs PBC menunjukkan terminal perusahaan moden (tengah) di Pangkalan Udara Al Udeid yang terletak di luar Doha, Qatar. - Foto AP

Imej satelit daripada Planet Labs PBC menunjukkan terminal perusahaan moden (tengah) di Pangkalan Udara Al Udeid yang terletak di luar Doha, Qatar. – Foto AP

WASHINGTON – Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) pada Jumaat mengesahkan bahawa satu peluru berpandu balistik yang dilancarkan Iran bulan lalu mengenai Pangkalan Udara Al Udeid milik Amerika Syarikat (AS) di Qatar, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Satu peluru berpandu balistik Iran mengenai Pangkalan Udara Al Udeid pada 23 Jun, manakala selebihnya berjaya dipintas sistem pertahanan udara AS dan Qatar,” kata jurucakap utama Pentagon, Sean Parnell dalam satu kenyataan kepada Anadolu.

Menurut Parnell, serangan itu hanya menyebabkan kerosakan kecil pada peralatan dan struktur di pangkalan itu serta tiada kecederaan dilaporkan.

“Pangkalan Udara Al Udeid kekal beroperasi sepenuhnya dan mampu melaksanakan misinya bersama rakan kongsi kami di Qatar bagi memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini,” katanya.

Iran melancarkan peluru berpandu ke arah pangkalan itu dalam satu tindakan yang dianggap sebagai peningkatan ketegangan, selepas serangan AS terhadap tiga tapak nuklear Iran pada 21 Jun.

Berikutan insiden itu, Komando Pusat Tentera AS (CENTCOM) yang menyelia pasukan tentera AS di rantau itu memaklumkan tentera Amerika bersama Qatar berjaya menangkis serangan itu.

Pengerusi Ketua Turus Bersama AS Jeneral Dan Caine dalam sidang media pada 26 Jun berkata usaha mematahkan serangan ke atas pangkalan itu adalah “penglibatan sistem Patriot terbesar dalam sejarah ketenteraan AS.”

Menurut Caine, pertahanan pangkalan itu turut melibatkan kru sistem Patriot dari Qatar.

Beliau tidak menyatakan jumlah peluru berpandu Patriot yang digunakan, namun menggambarkan bahawa terdapat “banyak serpihan logam di udara” ketika serangan berlaku. – Bernama

Scroll to Top