London: Iga Swiatek membelasah Amanda Anisimova 6-0, 6-0 pada perlawanan akhir Wimbledon wanita yang paling berat sebelah dalam tempoh 114 tahun untuk memenangi gelaran Grand Slam keenamnya.
Pilihan kelapan dari Poland itu menguasai permainan sejak mata pertama dan menamatkan kemenangan dalam hanya 57 minit dengan aksi memukau di Gelanggang Utama.
Ini adalah kali pertama seorang wanita memenangi perlawanan akhir di Wimbledon tanpa memberikan sebarang mata sejak tahun 1911, apabila Dorothea Lambert Chambers dari Britain menang dengan keputusan yang sama.
Iga, 24, juga adalah pemain kedua dalam era Terbuka yang memenangi kejohanan utama tanpa memberikan mata dalam perlawanan akhir sejak Steffi Graf menewaskan Natalia Zvereva di Terbuka Perancis 1988.
“Ia seakan sukar dipercayai,” kata Iga, yang juga juara perseorangan Wimbledon pertama dari Poland dan kini sudah memenangi kejohanan utama di semua jenis permukaan.
“Saya tidak pernah bermimpi menang seperti ini. Saya rasa saya sudah pun menjadi pemain berpengalaman selepas memenangi beberapa Slam sebelum ini, tetapi saya tidak pernah menjangkakan yang ini.
“Tahun ini saya benar-benar menikmatinya dan rasa seperti saya sudah memperbaiki prestasi saya di sini,” katanya lagi.
Iga memenangi trofi pertamanya di gelanggang rumput, dua minggu selepas mara ke final kejohanan gelanggang rumput di Bad Homburg.
Pilihan ke-13 dari Amerika Syarikat (AS), Amanda dijangka memberi cabaran sengit selepas menewaskan pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka di separuh akhir, tetapi Iga menunjukkan aksi yang cukup dominan.
Amanda memulakan permainan dengan agak gugup dalam keadaan panas di Gelanggang Utama.
© New Straits Times Press (M) Bhd