razis@hmetro.com.my
ZIARAH kubur adalah amalan yang sangat digalakkan dalam Islam yang antara lain mengingati mati dan mendoakan kesejahteraan si mati.
Namun, sehingga kini masih ada dalam kalangan segelintir masyarakat yang menyelitkan perbuatan khurafat yang menyimpang dari ajaran agama di kubur individu tertentu.
Ikuti wawancara Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), USTAZ MOHD SHAHRIZAL NASIR bersama wartawan, MUHAMAAD RAZIS ISMAIL bagi mengupas lanjut mengenai isu ini.
Apakah antara adab-adab yang sepatutnya diamalkan ketika menziarah kubur dan sejauh manakah kesedaran masyarakat berhubung perkara ini?
Sebenarnya banyak adab yang perlu diketahui dan diamalkan oleh umat Islam ketika menziarahi kubur. Kubur adalah tempat menghimpunkan manusia yang kini berada di alam barzakh. Justeru, Islam menetapkan banyak adab yang sewajarnya dipatuhi oleh setiap umat Islam.
Antaranya, memberi salam tatkala memasuki kawasan perkuburan, mendoakan keampunan dan kesejahteraan bagi penghuni kubur dan juga menginsafi benarnya kematian yang perlu menjadi peringatan dalam diri.
Wajar untuk sentiasa diperingatkan tentang adab-adab ini kerana kita mematuhi adab tersebut untuk mendapat pahala.
Justeru, sesuatu perbuatan yang baik itu mestilah diketahui dengan pengetahuan agama yang tepat. Adab-adab di kubur bukan satu adat atau budaya, sebaliknya ia panduan syarak untuk kita mendapat pahala.
Apakah antara perkara-perkara khurafat yang dilakukan oleh segelintir masyarakat hari ini?
Apabila menyebut mengenai perkara khurafat, ia membabitkan kepincangan pegangan akidah kerana melakukan perkara yang bertentangan dengan ketetapan syarak dan boleh membawa kepada syirik.
Dalam hal ini, saya melihat bahawa antara perkara yang dikira termasuk dalam kategori khurafat seperti pemujaan terhadap kubur, perbuatan menikam nombor ekor di kubur, pengambilan sesuatu di kubur untuk tujuan sihir dan seumpamanya.
Ini perkara yang jelas adalah perbuatan khurafat yang membawa kepada syirik kepada Allah SWT.
Selain itu, ada perkara-perkara yang dilakukan seperti meratapi kematian di kubur sehingga memudaratkan diri, mengambil tanah atau batu di kubur yang adalah tanah wakaf dan duduk di atas kubur orang atau melangkahi kubur tanpa berhati-hati adalah antara contoh-contoh perbuatan yang perlu dielakkan.
Mengapa masih ada yang mudah terpengaruh sehingga sanggup melakukan perbuatan khurafat ketika menziarah kubur?
Antara sebab utamanya ialah kerana tidak menyedari bahawa menziarahi kubur termasuk perbuatan yang dikira sebagai ibadah yang mendatangkan pahala.
Sebaliknya jika tidak mengikut adab-adab yang ditetapkan, maka perbuatan menziarahi kubur tidak mendatangkan pahala, ini sesuatu yang merugikan.
Kedua, budaya ikut-ikutan perlu diperbetulkan supaya kita mengetahui bahawa menziarahi kubur yang dilakukan oleh umat Islam tidak sama dengan perbuatan orang daripada agama lain.
Oleh itu, jangan terikut-ikut dengan perbuatan orang lain kerana Islam membenarkan ziarah kubur untuk kebaikan orang telah mati dengan mendapat doa orang yang masih hidup, dan pada masa yang sama ziarah kubur untuk peringatan diri sendiri tentang kematian.
Kita semua akan turut mati, dan apabila tiba saat itu, maka terputuslah peluang untuk melakukan kebaikan dan mengumpul pahala.
Oleh itu, ziarah kubur sepatutnya menjadi sebab kita menggandakan amalan sebelum datangnya kematian.
Apakah langkah sewajarnya diambil untuk mencegah daripada perbuatan seumpama ini daripada berterusan?
Perkara penting ialah ilmu. Setiap umat Islam perlu terus mencari ilmu apatah lagi berkaitan amal ibadah.
Untuk mendapat pahala, sesuatu perbuatan mestilah dilakukan ikhlas kerana Allah dan mengikut petunjuk Rasulullah SAW.
Dua syarat inilah yang melayakkan sesuatu perbuatan mendapat ganjaran pahala. Maka carilah ilmu agama dengan menghadiri kuliah-kuliah di masjid dan surau.
Bertanyalah kepada golongan agamawan jika terdapat sebarang kemusykilan agama.
Untuk persoalan di tanah perkuburan, dicadangkan pihak yang bertanggungjawab menjaga tanah perkuburan agar dapat memberi peringatan kepada orang yang menziarahi kubur supaya sentiasa menjaga adab-adab di kubur.
Mungkin perlu ada papan tanda peringatan untuk mengingatkan orang ramai tentang pentingnya menjaga adab-adab di tanah perkuburan.
Tindakan yang tegas juga perlu bagi mencegah mereka yang melakukan perbuatan yang bertentangan dengan syarak di kawasan tanah perkuburan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
