Kerana hati bukan rupa

Kerana hati bukan rupa

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Klang: “Saya tak pandang soal rupa, yang penting hati kerana nak kahwin lama dan hidup susah senang bersama.”

Itu kata Salasiah Sazali, 33, mengenai kisahnya yang menerima Muhammad Khairul Hibatullah Fitri Omar, 32, sebagai teman hidup walaupun suaminya berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal akibat kecacatan wajah dan buta mata kanan.

Kisah pasangan itu mendapat perhatian warganet selepas Muhammad Khairul Hibatullah Fitri memuat naik video gambar dengan Salasiah sebelum dan selepas berumah tangga.

Bercerita lanjut, Salasiah berkata, dia berkenalan dengan suaminya menerusi aplikasi sembang di laman sosial lima tahun lalu sebelum rapat hingga sepakat berkahwin pada 2021.

“Suami yang tegur dulu di situ (satu aplikasi sembang), dia kata nak berkawan dan mulanya tak nampak pun wajahnya kerana dia guna gambar tangan.

“Kemudian kami sambung mesej di WhatsApp dan tak lama selepas itu, baru suami kongsi gambarnya dan saya okay saja.

“Cuma tak pernah jumpa walaupun kami berdua tinggal di Perak dan bila dia kata nak berkawan lebih rapat, saya minta suami jumpa emak saya. Tak sangka suami datang dengan bawa bersama emaknya untuk masuk meminang tiga bulan selepas kami berkenalan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediamannya dekat sebuah pangsapuri di Taman Sentosa Perdana, di sini.

Menurut Salasiah, keluarganya tidak menghalang sebaliknya beri pilihan kepadanya untuk membuat keputusan dalam memilih teman hidup.

“Bab fizikal tak ada isu cuma emak ada pesan, kalau gaduh dengan suami pun, jangan sentuh soal paras rupa.

“Kiranya keluarga memang terima dan sayang suami tapi bila keluar berjalan, memang ada orang pandang atas bawah. Bagi saya, apa yang pelik sangat kerana wajah dia saja begitu, tapi yang lain normal,” katanya.

Salasiah berkata, setiap individu ada kekurangan dan kelebihan dan dia menerima suaminya seadanya serta bahagia menjalani kehidupan rumah tangga terutama selepas dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Arif Luqman yang kini berumur dua tahun.

“Tak kisah apa orang nak kata kerana apa pun, dia suami saya dan setakat ini layannya baik, tak ada garang pun dengan saya.

“Saya harap dan berdoa semoga biarlah hubungan kami berpanjangan sampai akhir hayat,” katanya yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang elektronik.

Sementara itu, Muhammad Khairul Hibatullah Fitri yang bekerja sebagai pembantu tadbir berkata, dia tidak terlalu memikirkan soal kekurangan dirinya kerana berstatus OKU sejak lahir.

“Tidak pernah juga fikir soal jodoh kerana jika ada, Alhamdulillah dan tak ada pun kena teruskan kehidupan.

“Tapi syukur isteri terima saya dan rasa kehidupan saya lengkap ada keluarga serta kerja yang menjamin pendapatan,” katanya.

Berhubung keadaan dirinya, Muhammad Khairul Hibatullah Fitri berkata, dia pernah jalani beberapa pembedahan termasuk di Australia ketika berumur empat tahun bagi memperbaiki struktur wajahnya.

Bekas pensyarah jurusan rangkaian komputer di sebuah kolej swasta itu juga pernah menjalani pemeriksaan setiap enam bulan sekali di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Kuala Lumpur kerana keadaannya namun berhenti pada 2016 kerana melihat tiada keperluan untuk teruskannya.

“Ikutkan dulu lagi teruk dan keadaan wajah sekarang adalah lebih baik selepas beberapa kali buat pembedahan.

“Disebabkan sejak kecil begini jadi tak jejaskan keyakinan pun cuma pernah juga diejek waktu sekolah rendah…tak beri kesan sangat pun kerana keluarga dan rakan banyak beri semangat.

“Isteri pun terima kerana dia kata tak lihat fizikal saya tapi tengok tanggungjawab. Baru-baru ini pun ada kongsi gambar kami di TikTok dan tak sangka jumlah tontonan tinggi, cuma ada satu komen kata kami macam tak bahagia tapi saya abaikan saja kerana lebih ramai mendoakan,” katanya yang turut menggunakan kemahirannya bagi upah membaiki komputer riba.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top