London: Lewis Hamilton ditegur bahawa masalah utama yang dihadapinya bersama Ferrari bukanlah kelemahan strategi pasukan, sebaliknya adalah prestasi dirinya yang kurang meyakinkan.
Hamilton nyata tidak berpuas hati dengan keputusan pasukan mengenai strategi tayar ketika Grand Prix (GP) British F1 apabila dia diminta masuk ke hentian pit untuk menukar tayar ketika sedang memburu podium.
Keputusan itu menyaksikannya menamatkan perlumbaan di tempat keempat, di belakang Nico Hulkenberg.
Sebelum ini, Hamilton turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap strategi pasukannya dalam GP Austria, dan sudah mengadakan pertemuan dengan pengurusan selepas tamat perlumbaan.
Namun, penganalisis Sky Sports, Naomi Schiff memberi pandangan berbeza.
“Ia bukan seperti yang diharapkan oleh Ferrari, terutamanya Hamilton. Mereka nampak ada potensi besar sepanjang hujung minggu.
“Tapi apa yang saya tak faham ialah Hamilton menyalahkan strategi, sedangkan dia sebenarnya terkesan dengan aksi hebat Hulkenberg dan Lance Stroll. Dia juga ada detik di mana Pierre Gasly memintasnya.
“Kalau kita lihat strategi yang digunakan Hamilton sebenarnya sama saja dengan yang digunakan oleh Lando Norris, Oscar Piastri dan Max Verstappen.
“Tapi dia mengadu yang keretanya sukar dikendalikan. Sebenarnya itulah puncanya iaitu prestasi kereta, bukan strategi.
“Hakikatnya dia tidak serasi dengan kereta,” katanya.
Perlumbaan GP British dimenangi oleh Lando Norris dari McLaren, diikuti rakan sepasukannya Oscar Piastri di tempat kedua.
Walaupun gagal menaiki podium, Hamilton tetap menamatkan perlumbaan di hadapan rakan sepasukannya, Charles Leclerc, yang hanya mampu menamatkan saingan di tempat ke-14.
© New Straits Times Press (M) Bhd