mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mempamerkan taring meskipun terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang kelab La Liga 2, Levante, dalam aksi pramusim di Pusat Latihan Levante, awal pagi tadi.
Keputusan seri itu menyaksikan skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz kekal tanpa kalah dalam empat aksi pramusim setakat ini, sekali gus memberi isyarat awal bahawa mereka semakin bersedia menghadapi musim baharu Liga Malaysia.
Lebih manis, pemain sensasi negara Arif Aiman Hanapi diberi kepercayaan besar apabila bukan saja diturunkan sebagai kesebelasan utama, malah menyarung lilitan kapten dalam pertembungan itu.
Tiga muka baharu warisan negara Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueirido turut diberi tempat dalam kesebelasan utama, membuktikan perancangan Munoz yang mahu segera mencantum keserasian antara pemain lama dan baharu.
Ini adalah keputusan seri kedua berturut-turut buat JDT selepas mereka turut diikat Cardiff City 2-2 sebelum ini, namun secara keseluruhan prestasi mereka di bumi Sepanyol boleh dianggap memberangsangkan.
Dua perlawanan awal mereka sebelum itu menyaksikan JDT membenam Real Murcia Imperial 4-0 dan menewaskan Costa City 1-0, menjadikan rekod keseluruhan mereka kini dua menang dan dua seri.
Skuad kendalian Munoz dijadualkan berdepan satu lagi wakil Sepanyol, Valencia Mestalla, pada 14 Julai, sebelum meneruskan siri jelajah dengan tiga aksi menentang kelab dari Timur Tengah.
Dua kelab dari Qatar, Al Rayyan SC dan Al Arabi SC akan menjadi penghalang seterusnya masing-masing pada 16 dan 19 Julai, sebelum mereka menutup tirai pramusim menentang Riyadh SC pada 21 Julai ini.
Kesemua aksi ini dilihat penting sebagai medan uji strategi dan kekuatan pasukan sebelum turun menentang seteru tradisi, Selangor FC, dalam perebutan Piala Cabaran pada 8 Ogos nanti.
JDT yang mendominasi kancah bola sepak tempatan sejak sedekad lalu, pastinya mahu memastikan dominasi mereka terus utuh musim ini, sekali gus melangkah bergaya di pentas domestik dan Asia.
© New Straits Times Press (M) Bhd