Keracunan makanan kolej swasta: Pengendali makanan tidak berdaftar dengan KKM

Keracunan makanan kolej swasta: Pengendali makanan tidak berdaftar dengan KKM

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pengendali makanan yang disyaki menyebabkan pelajar sebuah kolej swasta di sini, keracunan makanan didapati tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sepatutnya pengendali makanan berkenaan berdaftar dengan KKM.

“Pengendali berkenaan mempunyai lesen perniagaan, namun tidak berdaftar dengan KKM. Mereka juga dikatakan baru memulakan perniagaan berkenaan.

“Pengendali makanan berkenaan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 18 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, premis berkenaan diberikan notis penutupan selama tujuh hari sehingga 16 Julai ini.

Menurutnya, wabak keracunan makanan membabitkan pelajar kolej swasta berkenaan sudah terkawal dengan tiada pertambahan kes.

“Setakat ini, kita mengesyaki kejadian itu dipercayai berpunca daripada gulai ayam, namun kita masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan keracunan makanan di sebuah kolej swasta di sini, membabitkan seramai 427 kes terdiri daripada pelajar baharu ahli jawatankuasa (AJK) dan kakitangan orientasi yang dikesan pada Rabu lalu.

Mangsa dilaporkan mengalami gejala seperti sakit perut, cirit-birit, pening, loya, muntah dan demam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top