Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi janji jaga kebajikan dan memantau sepenuhnya keadaan psiko emosi Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam tragedi menyayat hati di Sungai Korok, Kedah pada 7 Julai lalu.
KPM janji jaga kebajikan, arah pihak sekolah pantau emosi Putri Qisya
Memetik laporan dari Bernama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyatakan pihak sekolah telah diarah untuk memberi keutamaan terhadap aspek kebajikan dan sokongan emosi buat kanak-kanak itu, memandangkan dia kini hanya tinggal sebatang kara.
“KPM akan mengambil tanggungjawab penuh terhadapnya selagi dia di bawah KPM. Saya dimaklumkan juga Putri Qisya sangat rapat dengan guru kelasnya jadi saya minta beliau untuk memantau psiko emosi dan kebajikannya sepanjang dia belajar di sekolah ini dan kita doakan supaya dia diberi kekuatan.
Saya juga dimaklumkan Putri Qisya turut mendapat kaunseling daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dari semasa ke semasa,” katanya ketika menyantuni Putri Qisya di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru.
KPM janji jaga kebajikan Putri Qisya lepas tragedi kehilangan keluarga
Ketika ini, Putri Qisya masih belum kembali sepenuhnya ke sekolah kerana sedang menjalani fasa pemulihan emosi.
Walau bagaimanapun, KPM menyerahkan kepada kesediaan dirinya untuk kembali belajar apabila dia lebih bersedia dari segi mental dan emosi.
Dalam lawatan tersebut, Fadhlina turut menyerahkan Bayaran Tuntutan Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia serta sumbangan daripada Yayasan Didik Negara dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah kepada Putri Qisya.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu dan bapa saudara yang mengambil tanggungjawab untuk menjaga Putri Qisya,” tambah beliau.
Putri Qisya mahu jadi juruterbang
Fadhlina turut mendedahkan bahawa Putri Qisya menyimpan cita-cita besar untuk menyambung pelajaran di MRSM dan bercita-cita menjadi juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) apabila dewasa kelak.
Artikel lain: Mahu jadikan anak angkat, Nurulhidayah sebak nama sama dengan ibu Putri Qisya
Putri Qisya merupakan satu-satunya yang terselamat dalam nahas tragis yang mengorbankan kedua ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, serta empat adik beradiknya,Putra Rayyan Nur Izzat, Hawa Adriana, Annayla Humaira dan Tuah Haydar selepas kereta yang mereka naiki terjunam ke dalam Sungai Korok.
Sumber: Bernama