Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang berehat di Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami keletihan selepas program Picnic & Potluck sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-100 pagi tadi di Putrajaya.
Tun M keletihan selepas program
Memetik laporan daripada Berita Harian, perkara itu telah disahkan pembantu beliau, Sufi Yusoff, yang memaklumkan bahawa Tun M dimasukkan ke IJN kira-kira jam 10 pagi.
“Ya betul, Tun kini sedang berehat di IJN selepas mengadu penat seusai menyertai program Picnic & Potluck di Putrajaya pagi tadi.
“Doktor memaklumkan keadaan Tun M stabil, selain mengarahkan beliau berehat,” katanya.
Keletihan selepas program, berehat di IJN
Difahamkan, Tun M dijangka keluar dari IJN pada petang ini jika tahap kesihatannya kekal stabil.
Terdahulu, Tun M dilaporkan meninggalkan program lebih awal kerana keletihan selepas selesai aktiviti kayuhan basikal sejauh lapan hingga sembilan kilometer mengelilingi Tasik Putrajaya.
Program yang berlangsung bersebelahan Yayasan Kepimpinan Perdana itu diadakan bagi meraikan ulang tahun kelahiran beliau ke-100 pada 10 Julai lalu dan ulang tahun ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 12 Julai.
Artikel lain: Tun M keletihan lepas kayuh basikal hampir 9KM, tinggalkan program lebih awal
Tun M tiba seawal jam 7.45 pagi dengan memandu sendiri dan mengayuh basikal secara ‘tandem’ bersama pegawai keselamatan khas.
Selepas kayuhan, beliau dilihat berehat seketika sebelum bersarapan dan meninggalkan lokasi tanpa sempat beramah mesra dengan hadirin.
Walaupun keletihan, keadaan Tun M dilaporkan stabil dan beliau hanya dinasihatkan untuk berehat buat sementara waktu.
Sumber: Berita Harian (Muhammad Yusri Muzamir)