farid_noh@bh.com.my
Kota Tinggi: Semua pihak diminta menunggu Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 selesai bersidang pada 15 hingga 17 Julai ini, sebelum mendesak lantikan pengganti bagi jawatan tertinggi dalam Badan Kehakiman Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasil Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia selaras dengan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperinci tetapan pelantikan jawatan berkenaan.
“Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa pelantikan kekosongan jawatan Badan Kehakiman Negara dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Jadi kita tunggu minggu depan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja selesai bersidang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Pengerang, di sini, hari ini.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 pada 15 hingga 17 Julai ini dijangka membincangkan mengenai kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Rabu lalu, Azalina dilaporkan berkata, Jemaah Menteri memberi jaminan pengisian kekosongan jawatan akan dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dilaporkan menggesa pelantikan pengganti bagi jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara perlu disegerakan berikutan beberapa hakim kanan sudah dan bakal bersara dalam tempoh terdekat.
Pengerusi PEMBELA, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, dilaporkan berkata, meskipun proses pelantikan perlu mematuhi lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, kerajaan sepatutnya sudah lama mengambil tindakan sewajarnya memandangkan persaraan beberapa hakim kanan sudah diketahui awal.
PEMBELA turut menuntut penjelasan beberapa isu antaranya mengenai ketiadaan lanjutan tempoh bagi Ketua Hakim dan Presiden Mahkamah Persekutuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd