Tragedi kapal karam perairan Pulau Bali, hanya seorang warga Malaysia terkorban setakat ini

Tragedi kapal karam perairan Pulau Bali, hanya seorang warga Malaysia terkorban setakat ini

am@hmetro.com.my

Banting: Hanya seorang warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi kapal KMP Tunu Pratama Jaya yang karam di perairan Pulau Bali 2 Julai lalu, setakat ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat ini, belum ada mangsa baharu (warga Malaysia) bagaimanapun usaha mencari dan menyelamat masih dilakukan pihak berkuasa Indonesia.

“Saya difahamkan seorang rakyat Malaysia terbabit (terkorban) dan sudah disempurnakan (dikebumikan).

“Setakat ini tidak ada lagi (jumlah mangsa baharu babitkan warganegara) tetapi usaha untuk mencari masih dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Langat yang dihadiri 460 perwakilan daripada 90 cawangan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, mana-mana jabatan yang berkenaan boleh menyalurkan bantuan berkaitan dalam memudahkan urusan keluarga mangsa.

Media melaporkan jenazah Fauzey Awang, 55, rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi feri Tunu Pratama Jaya selamat dikebumikan di Jawa Timur pada malam Jumaat, memenuhi hasrat terakhirnya untuk disemadikan berhampiran makam gurunya dan berdekatan dengan isterinya di Indonesia.

Meskipun berasal dari Terengganu, Fauzey dilaporkan sering berulang-alik ke Indonesia setiap tiga bulan untuk bertemu isterinya.

Feri yang dinaikinya membawa 65 penumpang dan 22 kenderaan sebelum ia karam di perairan Selat Bali pada malam 2 Julai, kira-kira 30 minit selepas berlepas dari Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi menuju ke Bali.

Setakat Jumaat, seramai 47 orang telah dikenal pasti, membabitkan 30 mangsa terselamat dan 17 terkorban.

Beberapa orang lagi masih hilang, ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top