Pelakon tersohor, Nam Ron, 56, pernah menolak tawaran membawa watak lelaki pedofilia dalam sebuah naskhah kerana tidak sanggup menanggung kesan emosi yang terlalu berat.
Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan berkata, walaupun dirinya bersikap terbuka dalam mencuba pelbagai jenis karakter, namun kali ini dia memilih untuk tidak meneruskan kerana watak tersebut melibatkan perlakuan tidak bermoral terhadap kanak-kanak.
“Pada peringkat umur sekarang saya ditawarkan watak lelaki pedofilia hingga melibatkan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
“Jadi saya terpaksa tolak sebab ia satu rasa yang sangat berat untuk dibuat. Bagi saya, ia akan menyakitkan secara dalaman kerana lakonan ini ada kaitan dengan rasa,” jelasnya.
Tambah Nam Ron, berdasarkan pengalaman lalu ketika membawakan watak-watak beremosi tinggi, dia kini lebih berhati-hati dalam memilih skrip yang boleh memberi kesan mendalam kepada diri dan keluarga.
“Antara naskhah yang memberi impak kepada kehidupan saya sebelum ini adalah drama Karlos yang ditayangkan pada 2013. Watak Rashid yang dibawa ketika itu menceritakan seorang bapa panas baran, kaki pukul, pemabuk dan suka berjudi sehingga saya terbawa-bawa emosi ke rumah. Masa itu saya betul-betul masuk dalam karakter.
“Saya jadi cepat marah, sampai tengking anak-anak hanya sebab benda kecil. Mereka jadi terpinga-pinga kenapa saya berkelakuan pelik dan bukan seperti yang mereka kenal.
“Sekarang saya dah tahu bagaimana nak kawal. Bila berada di luar set, saya tinggalkan karakter itu di belakang. Kita berlakon guna rasa, tapi kena tahu bila perlu berhenti,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Nam Ron kini kembali ke pentas teater menerusi pementasan Persiapan Seorang Aktor yang akan berlangsung di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) dari 17 hingga 20 Julai ini.
Menurut Nam Ron, suasana latihan yang kondusif dan kerjasama daripada semua pihak banyak membantu melancarkan proses pembikinan teater tersebut.
“Saya rasa seronok kerana banyak dibantu oleh pengarah yang sangat tenang dan tidak memberi tekanan kepada pelakon. Kami bebas berkongsi pendapat.
“Barisan pelakon utama seperti Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin juga sangat bagus dan berpengalaman. Saya tidak bermula dengan teater, jadi banyak belajar daripada mereka,” jelasnya.
Persiapan Seorang Aktor menyingkap kisah seorang pelakon yang mendalami makna kejujuran dan ketulenan dalam setiap watak. Naskhah ini turut merungkai obsesinya untuk menjadi bukan sekadar pelakon terbaik di Malaysia, tetapi setanding nama-nama besar dalam sejarah seni pentas dunia.
Tiket sudah boleh didapati melalui laman sesawang rasmi www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM78 dan RM98.