Cambah pemikiran kritikal

Cambah pemikiran kritikal

lizamridzuan@hmetro.com.my

Bukan sekadar memenuhi keperluan akademik, malah forum ilmiah anjuran pelajar semester satu Sarjana Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini membuka pentas kepada perbincangan pemikiran kritikal membabitkan isu-isu keselamatan semasa negara.

Membawa tajuk Melindungi Keselamatan Negara daripada Eksploitasi Kaum, Agama dan Institusi Diraja (3R), forum berkenaan mengulas cabaran strategik yang timbul daripada manipulasi elemen 3R serta bagaimana ia boleh menggugat perpaduan dan kestabilan negara jika tidak ditangani dengan bijaksana.

Menampilkan dua tokoh utama dalam arena keselamatan dan komunikasi negara iaitu Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Ts. Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen dan Ketua Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Datuk Mohammad Shaharul Md Osman.

Forum itu diadakan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam dan dihadiri lebih 80 tetamu membabitkan pelajar pascasiswazah, wakil industri serta anggota PDRM.

Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, forum itu amat signifikan dalam meningkatkan kesedaran awam, khususnya generasi muda berkenaan batas kebebasan bersuara dan tanggungjawab terhadap keselamatan nasional.

“Hak bersuara dijamin Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan, namun ia tidak bersifat mutlak dan dalam konteks isu 3R, kebebasan ini perlu diamalkan secara beretika dan bertanggungjawab, demi mengelakkan ketegangan kaum, keagamaan dan gangguan terhadap institusi berdaulat,” katanya. Tambah beliau, forum itu bukan sahaja memperkukuh kefahaman terhadap konsep perang saraf dan maklumat, malah berjaya mendedahkan peranan penting agensi seperti MCMC dalam memantau dan mengawal eksploitasi maklumat yang boleh mencetuskan ancaman keselamatan siber serta sosial.

Pengarah program, Wan Arash Azzazi Johari pula menyifatkan forum itu sebagai medium akademik yang berani dan relevan dalam menyentuh isu-isu sensitif, namun penting untuk didekati dengan ilmu, rasional dan kebijaksanaan.

“Isu 3R bukan sekadar berkisar berkenaan sensitiviti, tetapi menyentuh teras kestabilan negara dan pendedahan kepada topik ini dalam kerangka ilmiah mampu membuka ruang dialog yang sihat serta menyemai kefahaman bahawa keamanan dan perpaduan negara tidak boleh dikompromi,” katanya.

Antara intipati forum termasuklah strategi komunikasi berkesan, operasi risikan digital, pemantauan kandungan media sosial serta kepentingan kerjasama rentas agensi dalam memelihara keharmonian negara daripada ancaman manipulasi 3R.

Inisiatif ini turut mendapat sokongan Ketua Pustakawan UiTM, Ts Azizi Jantan yang hadir bagi menyatakan komitmen institusi dalam mendokong budaya ilmu serta memperkasa wacana keselamatan nasional dalam kalangan warga kampus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top