Bayi pramatang di Gaza terpaksa kongsi inkubator

Bayi pramatang di Gaza terpaksa kongsi inkubator
Bayi pramatang bergelut untuk hidup di tengah-tengah kempen pengeboman yang masih ganas. Foto Agensi

Bayi pramatang bergelut untuk hidup di tengah-tengah kempen pengeboman yang masih ganas. Foto Agensi

GENTING GAZA – Sektor kesihatan yang semakin kritikal di Genting Gaza menyebabkan beberapa bayi baru lahir terpaksa berkongsi inkubator berikutan hospital di wilayah itu berdepan krisis bekalan bahan api hingga memaksa kemudahan itu menghentikan perkhidmatan penting yang berisiko mengancam nyawa pesakit.

Pengarah Hospital al-Ahli, Dr Fadel Naim berkongsi gambar menyayat hati tersebut di media sosial sebagai bukti kezaliman rejim Zionis.

“Perang genosid berterusan telah melumpuhkan seluruh sistem penjagaan kesihatan.

“Bayi pramatang kini bergelut untuk hidup di tengah-tengah kempen pengeboman yang masih ganas,” tegasnya.

Pada Sabtu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bekalan bahan api kian kehabisan yang berpotensi memburukkan lagi malapetaka kemanusiaan di Gaza.

“Bekalan tersebut merupakan ‘tulang belakang kelangsungan hidup’ di enklaf berkenaan.

“Hospital terpaksa mencatu bekalan itu, perkhidmatan ambulans terjejas, sistem air juga bakal menghentikan operasi dalam masa terdekat jika Israel meneruskan sekatan terhadap penghantaran bantuan ke Gaza,” ujar kenyataan bersama tujuh agensi di bawah PBB termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Program Makanan Sedunia (WFP).

Pada awal minggu lalu, PBB berjaya menghantar bahan api buat pertama kali dalam tempoh 130 hari, namun bekalan sebanyak 75,000 liter itu hanya dapat menampung keperluan harian.

Menurutnya, bekalan tersebut perlu terus dihantar ke Gaza secara konsisten untuk mengekalkan operasi menyelamatnya nyawa. – Agensi

Scroll to Top