Penjaga perlu fahami pesakit

Penjaga perlu fahami pesakit

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Meskipun tiada ubat yang boleh memberi kesembuhan sepenuhnya bagi penyakit dementia, namun penjagaan yang betul boleh membantu perkembangan positif kepada pesakit.

Pengarah Projek Alzheimer’s Disease Foundation Malaysia (ADHM), Gan Chong Shyan berkata, pihaknya membuka pusat jagaan harian bagi pesakit dementia sejak 2009.

“Menjaga pesakit dementia itu bukan mudah kerana keadaan kesihatan mereka yang mudah lupa dan agresif. Ia menyebabkan ahli keluarga pesakit merasa terbeban dan tertekan.

“Disebabkan itu, penjaga pesakit perlu belajar cara menjaga dengan betul dan memahami emosi mereka,” katanya ketika ditemui di pejabat ADHM, di sini, baru-baru ini.

Gan berkata, penghantaran pesakit dementia ke pusat jagaan itu membolehkan ahli keluarga atau penjaga berehat sepanjang tempoh ia beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Penjagaan di sini pastinya lebih baik kerana kami ada jururawat terlatih selain kadar bayaran lebih murah iaitu RM80 sehari berbanding pusat jagaan swasta.

“Dengan adanya aktiviti seperti melukis, senaman dan nyanyian, pesakit akan berasa lebih baik berbanding duduk bersendirian di rumah.

“Di sini, mereka tidak rasa sunyi kerana ada rakan yang bersama-sama melakukan aktiviti. Perkara seperti itu akan membolehkan pesakit jadi lebih positif,” katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai latar belakang pesakit dementia yang dihantar ke pusat jagaan itu termasuk pensyarah, tukang kayu, suri rumah dan peniaga.

“Di pusat jagaan ini, kami jaga kira-kira 25 pesakit dementia setiap hari di bawah jagaan empat jurulatih serta seorang pengurus jururawat.

“Setiap pesakit yang mahu dihantar ke sini akan ditapis berdasarkan tahap dementia mereka. Lazimnya, pesakit dementia yang dijaga di pusat ini berada di tahap tiga dan empat.

“Bagi pesakit baharu di pusat ini, mereka akan menjalani tempoh percubaan selama seminggu. Dari situ, kami akan lihat sama ada mereka sesuai atau tidak dijaga di pusat jagaan ini,” katanya.

Menurutnya, pihak ADHM juga ada menyediakan latihan berkaitan dementia membabitkan enam modul yang mengajar mengenai definisi, risiko serta simptom penyakit itu selain kaedah penjagaan.

“Latihan ini bukan saja dibuka kepada jururawat tetapi juga bagi ahli keluarga pesakit dementia supaya mereka mendapat pendedahan mengenai penyakit berkenaan.

“Pendaftaran latihan ini boleh dibuat di laman sesawang ADHM dengan bayaran RM250 sehari bagi latihan fizikal, manakala latihan secara dalam talian pula adalah percuma,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top