harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua kakitangan sebuah jabatan kerajaan antara 12 individu dirakam keterangan berhubung siasatan kartel susu tepung menerusi operasi Op White.
Menurut sumber, dua kakitangan terbabit dirakam keterangan pada minggu lalu.
Katanya, operasi itu masih dijalankan bagi mengesan dan menganalisis aliran sumber kewangan membabitkan kartel berkenaan.
“Siasatan juga melibatkan kerjasama dengan pihak bank untuk SPRM kesan akaun-akaun berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi hari ini berkata, kes terbabit masih dalam peringkat siasatan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan juga Akta Cukai Pendapatan 1967.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan sebuah syarikat pembekal susu tepung yang dipercayai memanipulasi harga antara 10 hingga 50 peratus bergantung kepada zon selain memonopoli pasaran dalam kontrak pembekalan kepada sebuah jabatan kerajaan disiasat SPRM.
Syarikat yang dimiliki pasangan suami isteri bersama seorang anak sebagai pemegang saham utama itu dipercayai terlibat dalam pembekalan produk bernilai RM120 juta yang tidak memenuhi piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
© New Straits Times Press (M) Bhd



