Guru dinasihatkan elak sertai program motivasi tidak diketahui pengisiannya – Fadhlina

Guru dinasihatkan elak sertai program motivasi tidak diketahui pengisiannya – Fadhlina

am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) menasihatkan semua guru supaya tidak terbabit dengan sebarang program motivasi anjuran pihak luar yang tidak diketahui dari segi pengisian dan keberkesanannya.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata warga pendidik sebenarnya tidak perlu membabitkan diri dengan program motivasi luar kerana KPM sendiri sudah mempunyai program untuk guru.

Sehubungan itu, katanya guru yang memerlukan motivasi boleh menggunakan saluran yang disediakan KPM dan mengelak diri mereka dari menyertai program luar.

“Kita (guru) kalau boleh tidak perlu terbabit dengan program motivasi (luar) yang kita tidak tahu dan tidak jelas dari segi pengisian serta substance (bahan).

“Lagipun, di peringkat KPM, setiap sekolah ada program pembangunan dan motivasi untuk guru termasuk kaunseling yang saya fikir kalau ada program yang tidak sesuai itu perlu dielakkan.

“Oleh itu, saya ingin menasihatkan guru-guru supaya tidak sewenang-wenangnya terlibat dalam program motivasi luar. Kalau guru-guru rasa tidak cukup motivasi, datang jumpa saya. Saya boleh beri motivasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas serta memberi nasihat kepada warga pendidik sekiranya ada yang terbabit dengan program motivasi rumah tangga (eHATI), menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Widuri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina, berkata, beliau turut menasihatkan warga pendidik supaya memberi tumpuan dalam usaha membina kekuatan dan semangat pendidik dalam ekosistem pendidikan sedia ada yang lebih terarah dan selamat.

“Kita tidak mahu guru terbabit dengan program yang boleh menimbulkan keraguan atau menjejaskan integriti profesion perguruan. Banyak program pembangunan dalaman yang kita sediakan.

“Jadi nasihat saya, berhati-hati. Elakkan daripada menyertai program luar yang tidak sesuai. Tumpukan kepada motivasi dalam pendidikan kita, insya-Allah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top