Syarikat umrah, pengarah didakwa gagal bayar tuntutan RM232,526

Syarikat umrah, pengarah didakwa gagal bayar tuntutan RM232,526

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Sebuah syarikat pengendali pakej umrah dan pengarahnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan gagal mematuhi keputusan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar anugerah tuntutan berjumlah RM232,526.80 kepada enam individu.

Syarikat itu, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd dan pengarahnya, Datuk Zulkarnain Endut, 44, masing-masing berdepan enam pertuduhan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).

Zulkarnain yang mewakili dirinya dan syarikat, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu dan Zulkarnain didakwa melakukan kesalahan terbabit antara Julai 2023 hingga Januari tahun lalu di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Jalan UMS, di sini.

Mereka didakwa gagal membayar anugerah tuntutan antara RM24,666.80 hingga RM50,000 kepada enam individu, dengan jumlah keseluruhan RM232,526.80.

Mahkamah menetapkan 23 September depan untuk sebutan semula kes praperbicaraan dan membenarkan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan.

Syarat tambahan turut dikenakan yang menghendaki tertuduh melapor diri di pejabat KPDN Putrajaya pada 17 hari bulan setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari KPDN, Shafiq Mahadi dan Md Syafique Md Helmie, manakala tertuduh diwakili peguam Farah Nazriah Chun Lee @ Mohd Fadzlee Lee.

Terdahulu, Farah memaklumkan mahkamah bahawa seorang lagi pengarah syarikat, Datin Mazuin Mustafa, yang juga isteri Zulkarnain, sepatutnya dituduh hari ini tetapi tidak dapat hadir kerana mengalami kehamilan berisiko tinggi yang menghalangnya daripada melakukan perjalanan ke Sabah.

Farah berkata, keadaan itu disahkan oleh Hospital Putrajaya pada 20 Jun lalu dan memohon supaya waran tangkap terhadap Mazuin dibatalkan, dan ia tidak mendapat bantahan daripada pihak pendakwaan.

Sementara itu, Shafiq memaklumkan mahkamah bahawa berdasarkan surat daripada hospital, isteri tertuduh kini hamil 11 minggu.

Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan semula kes ditetapkan dalam tempoh dua bulan, yang juga bertujuan untuk mengetahui status isteri tertuduh sama ada dia sudah sihat untuk melakukan perjalanan ke Sabah.

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa Zulkarnain menghadapi pertuduhan sama di beberapa negeri di seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Pada 8 Julai 2023, Bernama memetik Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sebagai berkata, kementeriannya menggantung lesen Emraz Travel & Tours Sdn Bhd selama enam bulan, berkuat kuasa 10 Julai 2023 hingga 9 Januari 2024.

Lembaga Tabung Haji (TH) turut menggantung lesen syarikat sama pada 2 April tahun lalu dalam usaha melindungi kebajikan bakal jemaah haji berikutan aduan awam mengenai perkhidmatan umrah mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top