am@metro.com.my
Pontian: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut dihempap pokok kelapa sawit di Parit Katik, Sanglang Ayer Baloi, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu remaja terbabit berehat di jambatan kerana mengikut rakannya melakukan kerja mengorek parit.
“Mangsa dihempap pokok kelapa sawit itu ketika berehat di atas jambatan berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pontian untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohammad Shofee berkata, pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Mohd Aziz Othman di talian 019-7973696 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di talian 07-6869999.
© New Straits Times Press (M) Bhd




