Pentas teater bukan hanya milik pelakon yang berpendidikan formal dalam bidang itu, sebaliknya terbuka kepada sesiapa sahaja yang berdisiplin dan benar-benar mencintai seni lakonan.
Itulah pendirian dua pelakon muda, Arfie Shah dan Aizat Saha yang kini membintangi pementasan Persiapan Seorang Aktor. Bagi mereka, teater bukan ruang eksklusif yang hanya dikuasai segelintir golongan.
Menurut Arfie, yang pertama kali melibatkan diri dalam dunia teater, tanggapan hanya pelakon berlatarkan pendidikan teater layak menguasai pentas itu perlu diubah.
“Saya tidak setuju teater hanya untuk pelakon teater. Bagi saya yang masih baharu pun boleh cuba selagi matlamat utama adalah untuk belajar.
Teater adalah platform terbaik untuk pelakon mengasah bakat dan belajar menjadi lebih berdisiplin,” katanya.
Tambah Arfie, keindahan teater terletak pada keaslian lakonan kerana setiap persembahan disampaikan secara langsung, tanpa ruang untuk suntingan seperti dalam drama mahupun filem.
“Apa yang berlaku di atas pentas itulah yang disaksikan penonton. Itu satu pengalaman yang sangat berharga dan berbeza dengan dunia drama.
Dalam teater juga kita ada banyak masa untuk berlatih dan setiap latihan itu akan melahirkan idea baharu yang mencantikkan lagi lakonan kita,” jelasnya lagi.
Walau begitu, Arfie mengakui bergandingan dengan nama besar seperti Nam Ron dan Aloy Paradoks dalam produksi ini bukanlah tugas mudah, malah menjadi cabaran paling besar dalam kerjaya lakonannya setakat ini.
“Ini teater pertama saya. Tapi saya perlu pastikan lakonan saya membantu memperkuatkan jalan cerita agar mesej yang ingin disampaikan sampai kepada penonton,” katanya.
Dalam masa sama, rakan seangkatannya, Aizat Saha turut berpandangan bahawa peluang dalam teater wajar diberikan kepada semua pelakon tanpa mengira latar pendidikan seni mereka.
“Asalkan ada minat dan komitmen, mana-mana pelakon boleh masuk ke dunia teater. Ia satu bentuk seni yang menuntut komitmen tinggi dan latihan yang berterusan,” ujar Aizat.
Berkongsi cabaran sepanjang latihan, Aizat berkata dia perlu membentuk disiplin diri dan menyesuaikan diri dalam kerja berkumpulan yang memerlukan kerjasama jitu.
“Jadual latihan teater sangat ketat. Kita juga perlu menjayakan watak dengan sepenuh rasa kerana ia dilakonkan secara langsung di hadapan penonton. Ia sangat mencabar dan mendidik,” jelasnya.
Persiapan Seorang Aktor yang akan berlangsung di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) dari 18 hingga 21 Julai ini, menyelami perjalanan seorang pelakon lelaki yang obses memburu kesempurnaan, bukan sahaja dalam landskap seni tempatan, bahkan meletakkan sasaran melangkaui legenda teater dunia.
Pementasan ini menjanjikan naratif yang mengupas perjuangan batin seorang seniman dalam menyeimbangkan tuntutan emosi, spiritual dan mental dalam dunia lakonan yang penuh cabaran dan pengorbanan.
Tiket boleh didapati di laman web www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM78 dan RM98.




