rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sekumpulan sembilan lelaki warga asing yang disyaki terbabit pergaduhan di tapak pembinaan di Bangsar di sini, ditahan polis semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Ahmad Firdaus Mustafa Kamal berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pergaduhan pada jam 4.53 petang.
“Sepasukan polis yang ke lokasi kejadian menahan sembilan lelaki warga asing berusia 24 hingga 37 tahun yang disyaki terbabit dalam pergaduhan.
“Sebanyak enam topi keselamatan dan tiga batang besi yang dipercayai digunakan semasa pergaduhan itu dirampas polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata.
Katanya, kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 18 Julai ini untuk siasatan lanjut.
Beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terbabit sebarang aktiviti pergaduhan kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Kata beliau, sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berdekatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd