Konvensyen Hokkien Asean 2025: Langkah strategik kukuh rangkaian ekonomi serantau

Konvensyen Hokkien Asean 2025: Langkah strategik kukuh rangkaian ekonomi serantau

Petaling Jaya: Konvensyen Hokkien Asean 2025 yang buat pertama kalinya akan dilaksanakan pada 28 Ogos ini, dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh rangkaian ekonomi serantau dan membuka lembaran baharu kerjasama rentas negara membabitkan komuniti Hokkien di rantau ini.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia merangkap Pengerusi Bergilir Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Asean, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, konvensyen itu akan menjadi platform penting untuk memupuk perpaduan, memperkukuh jaringan ekonomi dan memperkenalkan potensi keusahawanan komuniti Hokkien di peringkat Asean.

Katanya, konvensyen berprofil tinggi itu akan diadakan di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur dan membawa signifikan tersendiri apabila ia berlangsung seiring dengan Malaysia sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak Asean 2025.

“Penganjuran konvensyen kali ini bukan sekadar acara tahunan, malah ia menjadi simbolik kepada hasrat memperkukuh perpaduan komuniti, memperluas jaringan perniagaan dan memacu agenda ekonomi serantau yang lebih inklusif.

“Tahun lalu, kami berjaya menganjurkan Persidangan Dunia Fujian ke-11 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang menghimpunkan lebih 3,300 delegasi dari 108 persatuan Hokkien mewakili lebih 20 negara.

“Ia turut menarik lebih 10,000 pengunjung ke pameran dan forum ekonomi yang diadakan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, antara pencapaian utama persidangan terbabit ialah penubuhan rasmi Gabungan Persatuan Fujian Asean yang dilihat sebagai satu pencetus kepada kerjasama berskala besar dalam kalangan komuniti Hokkien serantau.

Sebagai Presiden pertama gabungan itu, Lim berkata pihaknya komited menjadikan konvensyen kali ini sebagai platform yang membawa impak nyata kepada pembangunan ekonomi rantau ini.

Beliau berkata, konvensyen ini diyakini mampu membawa pelbagai manfaat strategik kepada negara dan antara lain, ia dijangka merangsang pemulihan sektor pelancongan dan perkhidmatan tempatan menerusi kehadiran ratusan delegasi dari luar negara, selain membuka peluang pelaburan dan kerjasama perniagaan rentas sempadan.

“Lebih penting, konvensyen ini boleh menjadi batu loncatan kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa melalui jalinan kerjasama yang terjalin di sini,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa acara ini adalah bukti bagaimana kekuatan perpaduan komuniti dan warisan budaya boleh dimanfaatkan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi Asean tahun ini, konvensyen ini bukan sahaja membawa nilai ekonomi, malah mencerminkan kebolehan rakyat Malaysia memimpin dialog serantau yang membina,” katanya.

Konvensyen itu turut menampilkan pelbagai acara penting termasuk Forum Pembangunan Potensi Asean yang akan dirasmikan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri (Dr) Johari, manakala majlis penutupnya akan disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top