Warden kekal dipenjara 10 tahun, laku amang seksual fizikal pelajar di asrama

Warden kekal dipenjara 10 tahun, laku amang seksual fizikal pelajar di asrama

surayaroslan@mediaprima.com.my

Putrajaya: Seorang warden di pusat pengajian tahfiz kekal dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Rayuan hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar berusia 11 tahun dalam bilik asrama, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan guru tahfiz, Tengku Mohammad Khaireel Tengku Wahab, 32, selaku perayu terhadap sabitan dan hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 17 Oktober 2023.

Dalam penghakimannya, Azman berkata, panel berpendapat keterangan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun enam bulan ketika kejadian bukanlah satu cerita yang direka oleh mangsa.

“Berdasarkan keterangan di Mahkamah Sesyen, mangsa juga menangis semasa memberi keterangan di mahkamah dan kami melihat perkara yang diadukan kepada doktor klinik kesihatan yang merawat mangsa adalah satu sokongan dan bukan cerita rekaan.

“Tuduhan atau aduan mangsa terhadap ustaz yang mengajarnya, bukan sahaja mencemarkan nama ustaz itu tetapi membawa kesan peribadi kepada mangsa sendiri,” katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Azman berkata, mengambil kira faktor-faktor itu, mereka mendapati sabitan yang dijatuhkan adalah betul dan tepat untuk kedua-dua pertuduhan.

Dalam pada itu, mengenai hukuman dijatuhkan, Azman berkata, memandangkan perayu adalah individu yang sepatutnya mengawal kejadian itu daripada berlaku, hukuman 10 tahun penjara dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan tidaklah terlalu berlebihan.

“Hukuman ini perlu memberi bukan sahaja rasa takut kepada perayu tetapi kepada masyarakat umum supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

“Dengan itu, kami sebulat suara menolak rayuan perayu dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya.

Pada 23 Disember 2020, Tengku Mohammad Khaireel didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar berusia 11 tahun enam bulan di dalam bilik warden asrama sekolah tahfiz berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 11.30 malam, 1 Disember 2020 mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pada 20 Disember 2022, Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh dan memerintahkan pemenjaraan berjalan serentak.

Bagaimanapun, susulan rayuan yang dikemukakan oleh tertuduh dan rayuan silang oleh pihak pendakwaan, Mahkamah Tinggi Kuantan menaikkan hukuman penjara kepada 10 tahun bagi setiap pertuduhan, serta menurunkan jumlah sebatan kepada satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top