mhafis@mediaprima.com.my
Cyberjaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan komitmennya untuk terus menyokong agenda kerajaan dalam memerangi rasuah dengan berpegang teguh kepada prinsip bebas, telus dan profesional dalam melaksanakan tugas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pendekatan tegas kerajaan menangani isu rasuah adalah langkah strategik yang akan membawa keuntungan kepada negara, khususnya dalam memastikan ketelusan dan tadbir urus baik.
Bagaimanapun, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap sikap materialistik dalam kalangan masyarakat masa kini yang dilihat menyumbang kepada kewujudan ‘corrupt minded society’.
Beliau berkata, ini merujuk kepada satu kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2003 yang mendapati 30 peratus mahasiswa ketika itu mengakui sanggup menerima rasuah, di mana golongan itu kinivmemasuki pasaran kerja.
“Operasi tangkapan juga harus lebih agresif bagi membendung gejala rasuah. SPRM akan memberi tumpuan kepada kes berskala besar melibatkan kerugian wang negara serta pada masa sama memberi tumpuan kepada aspek mengesan aset yang disembunyikan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah sempena Persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di sini, hari ini.
Azam turut menyeru seluruh warga LHDNM supaya terus mempertahankan prinsip integriti dan profesionalisme dalam setiap tanggungjawab yang dipikul demi kebaikan negara.
“Usaha membanteras rasuah bukan hanya terletak dibahu SPRM semata-mata, tetapi memerlukan penglibatan seluruh masyarakat sehingga terwujudnya sebuah komuniti yang menolak rasuah secara mutlak.
“Saya juga berharap kerjasama antara SPRM dan LHDNM akan terus diperkukuhkan walau apapun cabaran dan kritikan dihadapi,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin serta barisan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




