Malaysia catat jumlah ITO terbanyak di kejohanan Dunia Piala Raja Thai

Malaysia catat jumlah ITO terbanyak di kejohanan Dunia Piala Raja Thai
Sembilan pegawai teknikal Malaysia yang dilantik ITO Kejohanan Dunia Sepaktakraw ISTAF Piala Raja Thai 2025 yang menyingkap tirai 22 hingga 27 Julai ini.

Sembilan pegawai teknikal Malaysia yang dilantik ITO Kejohanan Dunia Sepaktakraw ISTAF Piala Raja Thai 2025 yang menyingkap tirai 22 hingga 27 Julai ini.

PELANTIKAN sembilan pegawai teknikal dari Malaysia sebagai Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) bagi edisi ke-38 Kejohanan Dunia Sepaktakraw ISTAF, Piala Raja Thai 2025 disifatkan sebagai satu penghormatan besar kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) serta pengiktirafan terhadap kecemerlangan pengurusan sukan negara.

Naib Pengerusi Teknikal Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) merangkap Pegawai Anti-Doping ISTAF, Syed Azmir Syed Ahmad, berkata, pencapaian itu turut membuktikan kepercayaan badan induk serantau terhadap profesionalisme dan kredibiliti pegawai Malaysia dalam menganjur serta mengendalikan kejohanan berprestij di peringkat antarabangsa.

“Gandingan mantap antara Datuk Abdul Halim Kader selaku Presiden ASTAF dan Setiausaha Agung ISTAF bersama Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, memperlihatkan tahap urus tadbir PSM yang semakin terserlah dan diyakini.

“Di bawah kepimpinan Datuk Mohd Sumali, imej sukan sepak takraw negara semakin menyerlah di pentas global. Malah, Malaysia mencatat jumlah pegawai teknikal antarabangsa paling ramai berbanding negara lain, yang kebanyakannya hanya menghantar seorang wakil,” katanya pada Khamis.

Syed Azmir yang turut disenaraikan sebagai salah seorang pegawai rasmi, menyifatkan pelantikan itu sebagai bukti kukuh kepercayaan badan induk antarabangsa terhadap kemampuan tenaga teknikal tempatan.

Lapan lagi pegawai yang disenaraikan sebagai ITO ialah Yusoff Ali, Suhaimi Sun Abdullah, Fadzil Hashim, Abdul Hafiz Ahmad, Nazrol Shah Mazlan, Jais Abdul Karim, Mohd Zubir Shari dan Muzaini Mansor.

INFO

Kejohanan Dunia Sepaktakraw ISTAF edisi ke-38 dijadualkan berlangsung di Hatyai Hall, Central Shopping Mall, Thailand dari 22 hingga 27 Julai ini.

Scroll to Top