GLC, syarikat swasta, dermawan digalak beri sokongan kepada YKN

GLC, syarikat swasta, dermawan digalak beri sokongan kepada YKN

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan amal dan individu dermawan digalakkan menyokong Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan menyalurkan sumbangan kewangan atau program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membolehkan lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab dalam pembangunan sosial dan kebajikan rakyat Malaysia, ia terus komited melaksanakan program yang memberi manfaat khususnya kepada golongan rentan dan terpinggir.

Menurutnya, melalui YKN, pelbagai program disalurkan kepada keluarga yang memerlukan, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

“YKN berperanan sebagai pemacu utama dalam penyampaian bantuan kebajikan secara berskala besar dan tersusun.

“Namun, segala inisiatif ini tidak dapat dilaksanakan secara bersendirian. Ia memerlukan sokongan kukuh daripada sektor korporat.

“Oleh itu, saya menyeru syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan amal dan individu dermawan menyokong YKN sama ada melalui sumbangan kewangan, program CSR atau bentuk bantuan lain,” katanya ketika berucap merasmikan program Sustainability & CSR Award 2025 di sebuah hotel malam ini.

Noraini berkata, kementeriannya juga mempunyai program utama iaitu Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS), yang bertujuan membangunkan bakat, kepimpinan dan kemahiran keusahawanan wanita muda ke arah melahirkan pemimpin wanita masa depan.

“Kami juga menyokong pengoperasian Pusat Aktiviti Warga Emas (PaWE) di seluruh negara sebagai pusat komuniti penting yang menawarkan aktiviti sosial, kesihatan dan pembelajaran bagi warga emas.

“Malah setiap sumbangan kepada YKN atau agensi di bawah KPWKM bukan sekadar derma, tetapi pelaburan sosial dalam membina Malaysia yang lebih adil dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata, sebagai rakan strategik kerajaan, beliau percaya sektor korporat mempunyai kuasa untuk menjana perubahan besar dalam usaha kebajikan negara.

“Marilah kita bekerjasama menjadikan YKN sebagai platform utama penyampaian bantuan kepada yang memerlukan.

“Majlis seperti ini juga adalah platform terbaik untuk kita berkongsi idea, pengalaman, dan memberi pengiktirafan kepada syarikat dan individu yang menjadikan CSR sebagai teras dalam budaya kerja mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top