am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Bangkai helikopter AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah di sini, minggu lalu, dibawa ke Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang, Selangor untuk tujuan siasatan lanjut.
Perkara itu disahkan Komander PGU, Datuk Noor Sham Md Jani selepas bangkai helikopter bernombor pendaftaran 9M-PHG itu berjaya dinaikkan ke darat pada jam 11 pagi tadi.
“(Dihantar ke) PGU Subang,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, difahamkan, bangkai helikopter berkenaan sudah dibawa meninggalkan lokasi nahas untuk ke PGU Subang, kira-kira jam 5 petang tadi, selepas ekor helikopter itu juga berjaya dinaikkan pada jam 4.45 petang.
Pada masa sama, tiga kru dari PGU, sudah dibenarkan keluar dari HSA dan dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
Menurut Koperal Mohd Helmie Huzairie Sabli yang juga suami kepada seorang kru iaitu Koperal Adeline Liu Yan Sin, hanya pembantu juruterbang, Superintendan Ahmad Bustamin Baharom kini ditempatkan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
“Isteri saya, Alhamdulillah, sudah ok. Sudah boleh berjalan. Dia ‘discaj’ dari HSA semalam. Tuan Bustamin dan juruterbang, Asisten Komisioner Faizul Muhammad pula dibenarkan keluar hospital pada kelmarin.
“Isteri dan Tuan Faizul sudah pulang ke rumah, namun Tuan Bustamin masih perlu menjalani rawatan di HUKM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Mohd Helmie Huzairie yang bertugas di IPD Serdang, Selangor, memaklumkan seorang kru, Konstabel RG Devendran dari Balai Polis Tanjung Kupang yang dilaporkan kritikal sebelum ini sudah sedarkan diri, hari ini.
Difahamkan, walaupun sudah sedar, Devendran masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA dan seorang lagi kru, Sarjan Siti Latipa Khairuddin yang juga dari Balai Polis Tanjung Kupang masih di hospital sama untuk rawatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd