Kalau ke laut, adalah gaji…

Kalau ke laut, adalah gaji…

lokman.khairi@hmetro.com.my

Manjung: Hidupnya dahulu ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Dengan pendapatan tidak menentu sebagai nelayan pesisir pantai, ada kalanya beliau tidak layak pun dikategorikan dalam golongan B40.

Namun, berkat usaha gigih dan tidak kenal erti putus asa, Saidin Kornain, 60, kini mampu tersenyum bangga apabila berjaya mengubah nasibnya menjadi seorang usahawan kebun kerang yang disegani, dengan hasil jualan tahunan mencecah ratusan ribu ringgit.

Anak jati Lekir itu berkata, titik perubahan dalam hidupnya bermula pada Oktober 2020 apabila beliau menerima tawaran daripada Jabatan Perikanan (DOF) untuk mengusahakan satu lot kebun kerang di perairan Lekir.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai nelayan. Saya selalunya ambil kerang kasar di pesisiran pantai untuk dijual.

“Pendapatan sebulan kadang-kadang tak sampai pun RM2,000. Kalau kita ke laut, adalah gaji. Kalau tak, tak adalah,” katanya kepada Harian Metro.

Dengan modal permulaan hanya RM10,000 bantuan DOF, Saidin memulakan langkah pertamanya dalam dunia ternakan kerang, walaupun tanpa sebarang pengalaman praktikal.

Pada peringkat awal, beliau pernah menanggung kerugian besar sehingga RM300,000 akibat benih kerang yang ditabur mati kerana kurang pengetahuan mengenai keadaan dasar laut.

“Saya ambil inisiatif belajar dengan penternak lain, baru saya tahu puncanya di samping khidmat nasihat dari DOF.

“Saya mencuba lagi dengan hasil yang tinggal dan Alhamdulillah sekarang dah boleh tebus kerugian dan mendapat keuntungan,” katanya yang turut terpaksa membuat pinjaman bank sebanyak RM300,000 untuk membangunkan kebunnya.

Kini, bapa kepada empat anak itu bukan sahaja berjaya mengubah nasib keluarganya, malah turut menjadi ‘bos’ kepada 30 nelayan tempatan yang kebanyakannya kini sudah terkeluar dari kepompong kemiskinan B40.

“Dalam 30 pekerja saya, 20 orang sudah melepasi B40. Ada yang dapat pendapatan sehingga RM9,000 sebulan.

“Tahun lepas sahaja, saya berjaya mengeluarkan 265 metrik tan kerang dan jual RM8 sekilogram,” katanya sambil tersenyum, membuktikan bahawa dengan keazaman, sesiapa sahaja boleh berjaya.

Saidin berterima kasih kepada DOF yang membuka peluang kepadanya bertepatan tugas jabatan berkenaan sebagai agensi pelaksana flagship Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan ilham Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top