Tang Jie-Ee Wei tempah tiket ke separuh akhir Terbuka Jepun

Tang Jie-Ee Wei tempah tiket ke separuh akhir Terbuka Jepun

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi wakil pertama Malaysia menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Jepun selepas menewaskan pasangan tuan rumah di suku akhir, sebentar tadi.

Turun selaku pilihan keempat kejohanan, Tang Jie-Ee Wei menunjukkan permainan yang cukup meyakinkan untuk mencatat kemenangan mudah ke atas Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara dengan straight set 21-14, 21-12 dalam masa 32 minit di Gimnasium Metropolitan, Tokyo.

Dalam aksi itu, beregu keempat dunia itu berada di kelas tersendiri apabila tidak banyak melakukan kesilapan terutama di set kedua untuk mendahului 15-0 dan menutup permainan dengan penuh bergaya untuk mara ke pusingan seterusnya.

Kemaraan ke separuh akhir ini juga menyaksikan yang keempat buat mereka pada musim ini dan kedua berturut-turut selepas Terbuka Indonesia.

Sementara itu, hasrat untuk menyaksikan pertemuan sesama sendiri di separuh akhir tidak kesampaian apabila beregu profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, tewas kepada pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Meskipun cuba memberi tentangan sengit dan bangkit di penghujung set kedua, namun ketenangan yang ada pada lawan mereka itu selain penguasaan gelanggang yang cukup baik daripada Zhen Bang-Ya Xin menyebabkan mereka terpaksa akur tewas 13-21, 21-23.

Kekalahan itu menyaksikan mereka tewas di suku akhir buat kali ketiga berturut-turut dan beregu China itu terus melebarkan rekod kemenangan menjadi lapan kemenangan daripada sembilan pertemuan sebelum ini.

Kali terakhir pasangan suami isteri itu menang ke atas mereka adalah di Terbuka China pada tahun lalu.Di separuh akhir esok, Tang Jie-Ee Wei berpeluang untuk melunaskan dendam ke atas Zhen Bang-Ya Xin yang menyingkirkan mereka di suku akhir Terbuka Jepun tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top