Buat kesilapan mudah punca Soon Huat-Shevon tersingkir

Buat kesilapan mudah punca Soon Huat-Shevon tersingkir

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kegagalan mengawal emosi dalam situasi penting menyebabkan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa akur tewas kepada pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di separuh akhir Terbuka Jepun, hari ini.

Bagi Soon Huat, dalam perlawanan penting dan bertemu pasangan sangat berpengalaman, mereka sepatutnya lebih banyak bersabar menyusun strategi agar peluang menewaskan lawan lebih tinggi.

Sebaliknya, Zhen Bang-Ya Xin dilihat lebih tenang dan bijak mengambil peluang terbuka untuk menghukum wakil negara itu sehingga membuatkan mereka melakukan banyak kesilapan mudah.

“Saya rasa kami membuat kesilapan mudah semasa menuju ke mata penting. Dalam perlawanan ini, kami terlalu mahukan kemenangan sehingga gagal mengawal emosi dalam beberapa situasi.

“Kami cuba mencari lebih banyak peluang menyerang tetapi malangnya tidak berjaya,” katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan itu, Soon Huat-Shevon dilihat banyak melakukan kesilapan mudah sehingga memberi kelebihan buat lawan menjarakkan kedudukan.

Namun begitu, pujian harus diberikan kepada pasangan suami isteri itu di set kedua apabila mereka cuba melakukan kebangkitan dan berjaya mendapatkan empat mata berturut-turut untuk menyamakan kedudukan 18–18 serta hampir mengheret permainan ke set ketiga.

Namun,terpaksa akur tewas jua dalam pertarungan sengit itu dengan straight set 13-21, 21-23 dalam masa 38 minit.

Sementara itu, satu lagi wakil negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula meneruskan perjuangan ke separuh akhir dan berpeluang melunaskan dendam ke atas Zhen Bang-Ya Xin yang menyingkirkan mereka di suku akhir Terbuka Jepun tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top