Israel cuba main wayang, berlagak baik hantar bantuan kemanusiaan

Israel cuba main wayang, berlagak baik hantar bantuan kemanusiaan
Proses pengecaman mayat yang menjadi korban keganasan sektarian dikumpulkan di pekarangan sebuah hospital di Sweida.

Proses pengecaman mayat yang menjadi korban keganasan sektarian dikumpulkan di pekarangan sebuah hospital di Sweida.

TEL AVIV – Israel sekali lagi cuba mempamerkan sisi hipokrasi mereka apabila mengumumkan akan menghantar bantuan kemanusiaan ke Sweida, beberapa hari selepas pertempuran ganas sektarian tercetus di bandar selatan Syria tersebut.

“Selepas menilai situasi kemanusiaan yang menimpa komuniti minoriti itu, Menteri Luar, Gideon Saar telah mengarahkan penghantaran segera bekalan bantuan kepada mereka,” menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pakej bantuan itu dianggarkan menelan kos hampir AS$600,000 (RM2.5 juta) yang mengandungi bungkusan makanan dan bekalan ubat-ubatan.

Difahamkan, bantuan sama penah disalurkan kepada komuniti Druze pada Mac lalu selepas Tel Aviv berikrar mahu melindungi mereka lalu bertindak campur tangan dalam konflik di Damsyik.

Pada Khamis, pasukan tentera Syria dilaporkan berundur dari Sweida selepas insiden keganasan yang tercetus antara puak Druze dan Bedouin di bandar itu meragut hampir 600 nyawa.

Keadaan di Sweida amat teruk dengan banyak kedai dirompak, rumah dibakar dan mayat bergelimpangan di jalan utama.

“Ia seperti baru dilanda bencana alam yang dahsyat,” ujar Hanadi Obeid, 39.

Presiden interim, Ahmed al-Sharaa menerusi ucapan disiarkan stesen TV memaklumkan pemimpin komuniti akan mengambil alih semula kawalan keselamatan di Sweida berdasarkan kepentingan tertinggi negara.

“Kami akan melindungi puak Druze dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencerobohi atau menganiaya komuniti tersebut,” tegasnya.

Sementara itu, data Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) mendapati hampir 2,000 keluarga hilang tempat tinggal akibat keganasan di wilayah berkenaan. – AFP

Scroll to Top