Final SSR 2025: SSMP, SSTMI buru kejuaraan di Putrajaya

Final SSR 2025: SSMP, SSTMI buru kejuaraan di Putrajaya

Putrajaya: Semua tumpuan terarah ke Taman Ekuestrian Putrajaya Ahad ini apabila dua gergasi ragbi sekolah Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP Falcons) dan juara bertahan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Tsunami) berentap merebut kejuaraan Grand Final Divisyen Akademi Super Schools Rugby (SSR) 2025.

Aksi penentu yang dijadual jam 4 petang itu menjanjikan pertarungan sengit bukan sahaja demi maruah, malah habuan wang tunai tertinggi dalam sejarah kejohanan.

Juara bakal meraih RM10,000 manakala naib juara menerima RM5,000, hampir dua kali ganda berbanding edisi sulung tahun lalu yang dimenangi SSTMI.

SSMP bimbingan Mohd Nasrul Hakim melangkah ke final selepas menewaskan Akademi Ragbi Selangor 2826 dalam separuh akhir yang mendebarkan.

Pemain utama mereka, Airel Nurafifi Azhar, sudah mengumpul 38 mata sepanjang musim.

“Perlawanan akhir ini simbol kejayaan kerja keras kami sepanjang tahun. Bertemu SSTMI, pasukan yang kami hormati, menjadikan pentas ini lebih bermakna. Kami sedia mencipta sejarah SSMP dengan semangat dan disiplin tinggi,” kata Mohd Nasrul.

Sementara itu, SSTMI yang dipimpin bekas kapten kebangsaan, Mohd Syahir Asyraf, memburu gelaran kedua berturut-turut selepas menewaskan SMK King Edward VII 2722 di separuh akhir.

Dua tonggak mereka, Muhammad Haikal Ismail (61 mata) dan Mohamad Razali Rizal (9 try), dijangka menjadi sandaran utama.

“Setiap kali SSTMI beraksi di final, kami membawa nama besar yang perlu dipertahankan. Tetapi yang lebih penting, kami mahu buktikan pembangunan bakat di peringkat sekolah mampu lahirkan bintang masa depan,” katanya.

Tiket boleh dibeli di www.evshop.my dengan harga bermula RM10 hingga RM30.

Menariknya, RM5 daripada setiap pembelian akan disalurkan kepada pasukan pilihan pembeli sebagai inisiatif pembangunan akar umbi ragbi negara.

Kategori tiket, IX-Clusive Stand RM30, EV Scrum Side RM20, The Roar Zone RM20, The Tryline Terrace RM10, The Sin Bin Percuma.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top