Remaja ditahan bantu siasatan penemuan mayat bayi

Remaja ditahan bantu siasatan penemuan mayat bayi

am@hmetro.com.my

Cameron Highlands: Seorang remaja ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi ditanam di kawasan bukit di Kampung Melayu Desa Kayangan, di Brinchang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli, berkata suspek berusia 19 tahun ditahan jam 5.30 petang, susulan laporan dibuat bapa lelaki terbabit mengenai penemuan mayat bayi dekat tangki air di kawasan bukit berhampiran rumah mereka, pagi semalam.

Menurutnya, susulan penahanan remaja terbabit, polis turut merampas cangkul dan penyodok tanah dipercayai digunakan lelaki terbabit untuk menggali lubang dan menanam mayat bayi itu.

Katanya, siasatan mendapati bayi terbabit dilahirkan kakak tiri suspek berusia 21 tahun pada 16 Julai dan ditanam lelaki terbabit pagi semalam.

“Hasil siasatan, suspek turut mengaku melakukan hubungan seks dengan kakak tirinya hingga hamil.

“Selepas wanita terbabit bersalin, suspek membawa bayi terbabit ke kawasan bukit dan menanam bersama uri,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azri berkata, kes itu terbongkar selepas bapa suspek terlihat kesan tanah terusik dan membawa kepada penemuan mayat bayi yang dibungkus dengan kain itu kira-kira jam 10 pagi semalam.

Menurutnya, bapa suspek membuat laporan mengenai penemuan mayat itu dan siasatan dijalankan membawa kepada penahanan remaja bertugas sebagai pekerja pembersihan inap desa terbabit.

Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga 22 Julai untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top