TANAH Suci Makkah bukan sekadar tempat suci untuk beribadah, malah ia turut menjadi saksi kepada banyak kisah keajaiban dan rahmat Ilahi yang tidak terjangkau dek akal manusia.
Bagi pembimbing jemaah umrah atau mutawif yang saban tahun bersama jemaah, pengalaman melihat air mata syukur mereka saat doa dimakbulkan menjadi detik paling menyentuh dalam kerjaya dakwahnya.
Penolong Pengurus Agama di Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia), Dr Sabri Jamaludin menjelaskan, beliau juga melihat sendiri kesungguhan dan keikhlasan jemaah dalam doa mereka selain keberkatan Tanah Haram itu yang menjadi kunci dikabulkan hajatnya.

DR SABRI
Insaf, berhenti merokok sebelum ke Makkah
Beliau yang berpengalaman lebih 14 tahun dalam bidang ini memulakan ceritanya, dua tahun lalu seorang jemaah lelaki berusia 40-an pernah bertanya kepadanya ketika kursus umrah dilaksanakan mengenai perbuatan merokok.
“Dia bertanya, apakah boleh merokok di Tanah Suci nanti? Ini kerana dia merupakan seorang perokok tegar dan sukar meninggalkan tabiat tersebut.
“Saya menjawab kepadanya, Makkah dan Madinah merupakan dua tempat yang suci lagi diberkati, sememangnya tidak boleh melakukan perbuatan haram termasuk merokok,” ujarnya ketika bercerita kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Tambahnya, lelaki itu hanya menganggukkan kepala tanda bersetuju dan akur dengan ketetapan yang telah termaktub dalam ajaran Islam.
Dr Sabri menambah, sejak itu lelaki tersebut memberitahu, dia berazam dan bertekad dalam hati untuk berhenti merokok selain sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT agar niat murninya serta taubat yang dipohonnya diterima.
“Sepanjang bersama beliau kelihatan tenang walaupun sebelum itu dia merupakan seorang perokok tegar yang tidak boleh meninggalkan rokok.
“Niat yang baik, azam yang kuat, usaha yang berterusan dan doa yang sentiasa dipanjatkan jemaah itu akhirnya berhasil dan ALLAH memakbulkan doanya.
“Alhamdulillah, sehingga kini beliau sudah berhenti merokok dan bebas daripada rokok sepenuhnya,” jelasnya.
Ujarnya, apa yang lebih menarik, lelaki itu kini membenci rokok dan sering menasihatkan perokok lain agar turut sama berhenti melakukannya.
Tidak jadi bercerai selepas merintih di Tanah Suci
Menyambung ceritanya, pada tahun sama juga, sepasang suami isteri masing-masing berusia 30-an berjumpa dengannya untuk mengerjakan umrah bersama dan mereka memilih untuk menginap di bilik hotel yang sama ketika berada di Makkah dan Madinah.
Bagaimanapun ujarnya, beberapa ketika sebelum tarikh berlepas, mereka memilih untuk tidak tinggal bersama di hotel sepanjang dan mahu tinggal bersama jemaah lain dalam bilik berempat.
“Atas permintaan mereka, saya penuhi juga. Saya melihat kedua-duanya ada bersama dalam kumpulan jemaah ketika di Makkah dan Madinah, namun seolah-olah tidak mengenali antara satu sama lain.

AMBILLAH peluang ketika berada di Tanah Suci untuk memperbanyakkan doa. Foto Canva
“Akhirnya sang suami membuka cerita bahawa mereka dalam proses untuk bercerai dan tidak mahu hidup bersama lagi,” ceritanya lagi.
Namun Dr Sabri melihat lelaki tersebut masih menyayangi isterinya itu dan tidak berputus asa berdoa agar mereka kembali bersama.
“Dia berdoa bersungguh-sungguh ketika berada di Makkah dan Madinah. Begitu sayangnya dia pada mahligai yang dibina bersama itu.
“Selepas kembali ke tanah air, saya mendapat khabar gembira bahawa kedua-dua suami isteri ini membatalkan hasrat mereka untuk berpisah dan akhirnya kembali bersama seperti dahulu.
“Begitulah kuasa doa yang dipanjatkan dengan keikhlasan. ALLAH YANG MAHA MENDENGAR rintihan dan MAHA MENGABULKAN doa daripada hamba-hamba-NYA,” katanya.

TERUSKAN berdoa agar dijemput menjadi tetamu ALLAH ke Tanah Suci. Foto Canva
Beliau kemudian membaca sepotong ayat al-Quran daripada ayat ke-159 surah Ali Imran: “Kemudian apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang bertawakal.”
Sebelum mengakhiri kalam, beliau sempat berpesan kepada umat Islam agar berdoa bersungguh-sungguh agar dijemput ke Tanah Suci.
“Hadir ke Tanah Haram bukan soal kewangan semata-mata, boleh jadi ia jemputan ALLAH SWT kepada hamba-NYA yang bersungguh-sungguh meminta.
“Tanamkan niat dan berdoalah selain berserah kepada-NYA, mudah-mudahan kita semua diberi rezeki untuk menjadi tetamu ALLAH kelak,” doanya buat semua.
Jelasnya lagi, ada segelintir umat Islam merasakan tidak layak untuk ke Tanah Suci atas faktor dosa yang banyak.
“Itu hanya bisikan syaitan. Berusahalah untuk ke Makkah bagi melaksanakan kewajipan haji dan umrah pada usia yang masih muda selain menziarahi makam Nabi Muhammad SAW di Madinah.
“Hari ini jika masih belum mampu lagi capai istito’ah, berusahalah kita untuk sempurnakannya,” katanya.