Kelestarian teras operasi IJM – Wan Salwani

Kelestarian teras operasi IJM – Wan Salwani
Wan Salwani (dua dari kanan) menerima Anugerah Personaliti Kelestarian Asia atas kepimpinan ESG di Anugerah CSR Malaysia 2025.

Wan Salwani (dua dari kanan) menerima Anugerah Personaliti Kelestarian Asia atas kepimpinan ESG di Anugerah CSR Malaysia 2025.

KELESTARIAN merupakan teras strategi penting dalam operasi dan perniagaan kami untuk merangsang kejayaan dan pertumbuhan jangka panjang IJM serta usaha membina infrastruktur negara.”

Demikian kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff, susulan penganugerahan Anugerah Personaliti Kelestarian Asia (Kepimpinan ESG) yang diterimanya sempena Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia ke-10 2025 di ibu negara, Khamis lalu.

Menurutnya, kelestarian bukan sekadar soal pematuhan, tetapi menyentuh soal impak sebenar dan boleh diukur terhadap sumbangan nilai sosial kepada komuniti.

“Inisiatif kami di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (Lekas) direka untuk mewujudkan nilai bersama – daripada mempromosikan gaya hidup sihat, membantu komuniti kurang berkemampuan sehingga menjadi pemacu kemajuan,” ujarnya lagi.

Majlis penganugerahan itu turut menyaksikan dua lebuh raya di bawah pengurusan IJM menerima pengiktirafan penting.

Dua lebuh raya berkenaan ialah Lekas dan NPE yang menerima pengiktirafan syarikat terbaik di bawah kategori Pengurusan Lebuh Raya, Komuniti dan Penjagaan Sosial serta kategori Pengurusan Lebuh Raya, Kelestarian dan Penjagaan Komuniti.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Antara inisiatif utama yang menjadi asas penilaian termasuk IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024 di NPE serta RHB Lekas Highway Ride 2024 di Lekas, yang berteraskan promosi gaya hidup sihat dan penglibatan komuniti secara inklusif dengan infrastruktur tol.

Bagi Lekas, syarikat berkenaan turut menyumbang kepada Majlis Paralimpik Malaysia dalam kempen TambahEMAS Paris 2024, sebagai sokongan kepada atlet para negara.

Panel penilai anugerah terdiri daripada tokoh korporat dan pemimpin sosial, dengan fokus kepada kejelasan matlamat tanggungjawab sosial korporat (CSR), impak terhadap komuniti serta kreativiti dan keberkesanan pelaksanaan.

Scroll to Top