Malaysia mula pesta mata di BAJC 2025, Macau korban pembukaan Skuad remaja negara mengganas, Macau mangsa pertama di BAJC 2025

Malaysia mula pesta mata di BAJC 2025, Macau korban pembukaan
Skuad remaja negara mengganas, Macau mangsa pertama di BAJC 2025
Pasukan badminton remaja negara memulakan kempen BAJC 2025 penuh bergaya apabila membenam Macau dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Tertutup Manahan, Solo, Indonesia pada Jumaat. Foto Badminton Association of Malaysia

Pasukan badminton remaja negara memulakan kempen BAJC 2025 penuh bergaya apabila membenam Macau dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Tertutup Manahan, Solo, Indonesia pada Jumaat. Foto Badminton Association of Malaysia

PASUKAN badminton remaja negara memulakan kempen Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 dengan penuh bergaya apabila membenam Macau 110-59 dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Tertutup Manahan, Solo, Indonesia pada Jumaat.

Skuad negara nyata terlalu ampuh apabila mendominasi keseluruhan 10 perlawanan selaras dengan format baharu kejohanan yang menampilkan dua perlawanan bagi setiap kategori, iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Malaysia memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila perseorangan lelaki, Kong Wei Xiang mudah menewaskan Lei Lok Him 11-5, sebelum Lim Zhi Shin menambah mata kedua menerusi kemenangan 22-10 ke atas Ung Cheok Lan dalam acara perseorangan wanita.

Beregu wanita Nur Aina Hatta-Dania Sofea Zaidi terus mengukuhkan kedudukan negara dengan kemenangan 33-16 ke atas Chan Hao Wai-Sin Cheng Kou, sebelum beregu campuran Loh Ziheng-Noraqillah Ramdan menewaskan Chio Chi Seng-Ian Chi Cheng 44-21.

Malaysia terus gah melangkah apabila beregu lelaki Damien Ling-Tan Zhi Yang tidak berdepan masalah menewaskan Kou Sin Long-Ou Ka Hou 55-26, diikuti Lim Boon Le yang menyumbang mata keenam negara menerusi kemenangan 66-30 ke atas Lei Lok Him.

Perseorangan wanita kedua, Eng Ler Qi memastikan mata ketujuh negara selepas mengatasi Ung Cheok Lan 77-39, diikuti Nicole Chau-Low Zi Yu yang menang mudah 88-46 dalam aksi beregu wanita kedua.

Momentum terus dikekalkan pasangan beregu campuran Datu Anif Datu Asrah-Nicole Tan yang menundukkan Chio Chi Seng-Ian Chi Cheng 99-53.

Kemenangan mutlak negara dilengkapkan beregu lelaki Shazmir Shahrul-Zulwaqqarizal Redzuan yang menewaskan Kou Sin Long-Ou Ka Hou 110-59 dalam perlawanan terakhir.

Kejayaan itu meletakkan Malaysia di landasan terbaik untuk muncul juara Kumpulan B yang turut dibarisi tuan rumah Indonesia, Myanmar dan Singapura, dengan hanya juara kumpulan bakal layak secara automatik ke peringkat suku akhir.

Malaysia dijadualkan berdepan Myanmar pagi esok diikuti Singapura pada sebelah petangnya.

Acara berpasukan akan berlangsung sehingga 21 Julai, manakala saingan individu akan bermula dari 23 hingga 27 Julai.

Scroll to Top